AM

JABATAN AUDIT NEGARA ANJUR INISIATIF KAM, SAM DI DUA LOKASI DI TUARAN TAHUN INI

10/05/2025 06:47 PM

KOTA KINABALU, 10 Mei (Bernama) -- Jabatan Audit Negara (JAN) mengukuhkan peranan mereka dalam pembangunan komuniti menerusi penganjuran program Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Sekolah Angkat MADANI (SAM), dengan pelaksanaan di dua lokasi dekat Tuaran tahun ini.

JAN dalam kenyataan memaklumkan dua lokasi itu ialah Kampung Topokon dan Sekolah Kebangsaan (SK) Topokon, masing-masing melibatkan peruntukan RM1 juta dan RM100,000 memandangkan sekolah berkenaan terletak dalam kawasan yang sama.

Mesyuarat penyelarasan program itu dipengerusikan Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi di Wisma Audit Sabah di sini hari ini, yang turut membabitkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan Persekutuan dan negeri bagi menjayakan inisiatif itu.

JAN memaklumkan program KAM adalah inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Ucapan Belanjawan 2024, bertujuan merapatkan jurang kemudahan asas antara desa dan bandar serta meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi komuniti luar bandar.

“Menerusi kejayaan pelaksanaan pada 2024, kerajaan memperluas program ini ke 200 kampung seluruh negara bagi tahun 2025. Usaha ini selaras dengan pendekatan seluruh kerajaan yang menekankan kerjasama merentas agensi bagi memastikan penyampaian perkhidmatan cepat dan berkesan kepada rakyat,” menurut kenyataan itu.

JAN turut menjelaskan skop projek SAM memberi tumpuan naik taraf kantin sekolah bagi menyediakan persekitaran makan yang lebih selamat dan selesa kepada murid-murid.

Di bawah KAM pula, ia merangkumi empat skop utama yang akan dilaksanakan di kampung terbabit melibatkan naik taraf dewan serbaguna, gelanggang futsal dan bola keranjang terbuka, fasiliti sekolah serta program kemasyarakatan.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat turut membincangkan usaha sama antara JAN dan Sekretariat Sabah Maju Jaya dalam menjayakan kedua-dua program berkenaan.

Dalam mesyuarat itu, Ketua Audit Negara turut menyampaikan surat pelantikan kepada jabatan dan agensi terlibat serta menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Majlis Ugama Islam Sabah kepada pihak SK Topokon.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan