PUTRAJAYA, 11 Mei (Bernama) -- Menteri Sumber Manusia Steven Sim, kini dalam lawatan kerja rasmi ke Korea Selatan bermula hari ini hingga Selasa (11 hingga 13 Mei) bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pembangunan Sumber Manusia APEC ke-7 (HRDMM).
Mesyuarat yang dikenali sebagai 7th APEC Human Resources Development Ministerial Meeting (HRDMM) itu diadakan di Jeju, Korea Selatan dan merupakan penganjuran pertama selepas 11 tahun dengan edisi terakhir berlangsung pada 2014 di Vietnam.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan memaklumkan Sim mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat tersebut yang diadakan bersempena Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) bertemakan “Kemampanan Pasaran Buruh dan Pekerjaan Masa Hadapan”.
“Dua topik utama yang menjadi tumpuan perbincangan kali ini ialah ‘Pasaran Buruh yang Fleksibel dan Dinamik’ serta ‘Cabaran Pekerjaan Masa Hadapan dan Dasar Pasaran Buruh Aktif’,” menurut kenyataan itu.
Menurut KESUMA, penyertaan delegasi Malaysia dalam mesyuarat HRDMM kali ini adalah penting bagi menzahirkan komitmen berterusan negara dalam menggalakkan kerjasama serta mengeratkan hubungan dengan rakan-rakan ekonomi APEC yang terlibat dalam sektor sumber manusia, tenaga kerja dan keselamatan sosial.
Dalam masa sama, Sim turut dijadual mengadakan dua pertemuan dengan Menteri Buruh Thailand Phipat Ratchakitprakarn dan Setiausaha Buruh dan Kebajikan Hong Kong Chris Sun, bagi meneroka peluang kerjasama strategik dua hala dalam bidang perburuhan dan pembangunan modal insan.
“Mesyuarat Menteri-Menteri dijangka menghasilkan satu Kenyataan Bersama Menteri yang merangkumi topik penting seperti latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penyertaan wanita dalam tenaga kerja, pemerkasaan golongan kurang upaya, aspek keselamatan serta kesihatan pekerja dan lain-lain,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA