KOTA KINABALU, 11 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu di sini.
Anwar tiba di istana kira-kira pukul 11 pagi, sejurus selepas pesawat khas yang membawanya mendarat di Terminal Dua, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 10.35 pagi bagi memulakan lawatan kerja sehari ke Sabah.
Beliau menandatangani buku tetamu sebelum mengadakan perbincangan empat mata bersama Musa di Dewan Kunjungan Khas.
Kunjungan itu merupakan yang pertama oleh Anwar sejak pelantikan Musa sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah pada Januari lepas.
Pertemuan kira-kira setengah jam itu diakhiri dengan jamuan tengah hari di bilik santapan istana.
Selesai acara di Istana Seri Kinabalu, Anwar meneruskan lawatan kerja ke Tawau bagi merasmikan Majlis Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau.
Pada majlis itu, Perdana Menteri dijadual menyempurnakan Penyerahan Projek Siap Tamu Desa Sabah, Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Usahawan Sabah dan Peluncuran Program Solar MADANI.
Anwar dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang turut hadir ke program itu akan meluangkan masa meninjau perkhidmatan disediakan di reruai jabatan dan agensi kerajaan yang menyertai program tiga hari bermula Jumaat lepas.
Perdana Menteri dijadual berlepas pulang ke Kuala Lumpur petang ini.
-- BERNAMA