TAWAU, 11 Mei (Bernama) -- Penjawat awam di negara ini perlu memainkan peranan strategik sebagai duta profesionalisme dan kecemerlangan Malaysia di pentas serantau ASEAN, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata tanggungjawab Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini memberi peluang untuk mempamerkan kebolehan serta komitmen tinggi penjawat awam dalam melaksanakan tugas mereka.
"Marilah kita berganding bahu mengangkat martabat negara melalui tadbir urus yang cekap, komunikasi berkesan dan penyampaian perkhidmatan awam yang mencerminkan nilai-nilai MADANI," katanya ketika berucap pada Program MADANI Rakyat: Bersama-sama Ketua Setiausaha Negara di sini, hari ini.
Shamsul Azri turut mengingatkan bahawa penjawat awam tidak boleh hanya bersifat reaktif, sebaliknya perlu proaktif dalam merangka dasar yang lebih mapan, memperkukuh hubungan perdagangan dan mempercepat usaha diversifikasi ekonomi negara.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan daya tahan ekonomi Malaysia dalam jangka panjang, sekali gus melindungi kesejahteraan rakyat daripada kesan dasar luar yang tidak menentu.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan agar penjawat awam sentiasa mematuhi nilai integriti serta menjunjung tahap akauntabiliti yang tinggi dan tidak terjerumus dalam sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa.
"Merujuk kepada Indeks Persepsi Rasuah yang diterbitkan oleh Transparency International pada 2024, Malaysia berada di kedudukan kedua dalam kalangan negara ASEAN, selepas Singapura dengan skor 50 mata.
"Namun begitu, seluruh rakyat Malaysia perlu berganding bahu merealisasikan visi negara untuk berada dalam kelompok 25 negara teratas menjelang 2033 dengan memastikan mutu akauntabiliti dan ketelusan dalam pentadbiran sektor awam terus dipertingkatkan," katanya.
Shamsul Azri turut mengingatkan penjawat awam agar memelihara imej negara dan berwaspada dalam mengendalikan perkara yang sensitif seperti bendera atau isu berkaitan 3R (agama, kaum dan institusi raja).
"Sebagai penjawat awam, kita bukan sekadar melaksanakan dasar dan arahan, kita adalah tulang belakang negara dan penggerak utama aspirasi Malaysia MADANI," tegasnya.
Beliau turut berpesan kepada lebih 800 penjawat awam yang hadir supaya menzahirkan nilai taat setia bukan sekadar melalui lafaz, tetapi melalui setiap tindakan, keputusan dan amanah yang dipikul.
-- BERNAMA