KUANTAN, 11 Mei (Bernama) -- Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyarankan pelajar sekolah supaya mengamalkan pemakanan sihat bagi mengekalkan tahap kesihatan yang baik.
Baginda bertitah pengambilan makanan yang diproses dan tidak berkhasiat akan menjejaskan serta memberi implikasi kepada tahap kesihatan individu.
“Sekarang ini, ramai kanak-kanak yang menghidap kencing manis, jadi pilihlah makanan yang sihat,” titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Anugerah Pendidikan Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Azizah Ke-20 Tahun 2024 di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak dan guru besar SK Tunku Azizah Norsalwa Abdul Wahab.
Dalam titah baginda, Tunku Azizah turut melahirkan rasa sukacita atas prestasi cemerlang yang dicapai oleh murid-murid sekolah berkenaan, susulan kejayaan pelbagai pencapaian yang membanggakan.
Tunku Azizah kemudiannya berkenan menyampaikan anugerah kepada lebih 100 murid cemerlang, sebelum meluangkan masa melawat pameran Anugerah Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Inovasi 2024/2025. Baginda juga merasmikan kelas digital di sekolah tersebut.
-- BERNAMA