DUNIA

MENGHAYATI KEROHANIAN SAMBUTAN HARI WESAK DI ASEAN

11/05/2025 05:35 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 11 Mei (Bernama) -- Jutaan penganut Buddha di seluruh ASEAN meraikan Hari Wesak, perayaan penting yang memperingati kelahiran, pencerahan dan kewafatan Siddhartha Gautama, yang dikenali sebagai Buddha.

Di rantau Indochina, sambutan diadakan di Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam, negara yang masih mengekalkan pengaruh kuat agama Buddha. Perayaan ini disambut pada bulan purnama kedua dalam kalender Buddha.

Hari Wesak diraikan secara meluas di seluruh ASEAN dan dikenali dengan pelbagai nama tempatan – Wesak Bochea Day di Kemboja, Waisak di Indonesia, Vixakha Boucha di Laos, Kasong di Myanmar, Wesak di Malaysia, Wesak di Singapura, Visaka Bucha di Thailand dan Phat Dan di Vietnam, menurut kenyataan Sekretariat ASEAN dalam hantaran di Facebook pada Ahad.

“Kami mengucapkan selamat menyambut Hari Wesak yang penuh kegembiraan dan kedamaian kepada semua rakan penganut Buddha,” menurut kenyataan itu.

Di Kemboja, hari yang dianggap suci ini - juga dikenali sebagai Hari Buddha - jatuh pada Ahad tahun ini. Seperti kebiasaan, para penganut akan mengunjungi pagoda, memberi penghormatan kepada sami serta membaca ajaran Buddha.

“Selamat menyambut Hari Visak Bochea. Visak Bochea merupakan perayaan keagamaan paling penting berbanding agama-agama lain. Semoga seluruh rakyat dan penganut Buddha di seluruh negara diberkati dengan kemakmuran dan lima jenis keberkatan Buddha,” kata Presiden Senat Kemboja Hun Sen menerusi laman Facebook beliau.

Sambutan tahun ini disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Kemboja Sar Sokha.

Bersempena sambutan itu, kerajaan Kemboja mengurangkan hukuman penjara terhadap 296 banduan, termasuk 28 wanita, antara tiga hingga 12 bulan.

Memberi pengampunan diraja atau pemotongan hukuman penjara sempena perayaan besar merupakan amalan lazim di Kemboja.

Penganut Buddha di negara ASEAN lain termasuk Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura dan Vietnam pula akan menyambut perayaan itu pada Isnin.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan