KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Keputusan kerajaan menggazetkan had laju 30 kilometer sejam (km/j) di zon sekolah disifatkan langkah tepat dalam usaha melindungi nyawa, khususnya kanak-kanak, sejajar saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Kulanthayan KC Mani berkata pengurangan kelajuan walaupun satu kilometer sejam mampu mengurangkan risiko kematian sehingga lima peratus.
“Kalau kelajuan purata dikurangkan lima peratus, risiko kemalangan maut boleh menurun hingga 30 peratus,” katanya kepada Bernama sempena Minggu Keselamatan Jalan Raya Sedunia (UNGRSW) Ke-8 dari 12 hingga 18 Mei ini bertemakan Walking and Cycling Safe.
Beliau berkata tubuh manusia hanya mampu menyerap impak hentaman pada kelajuan maksimum 30km/j dan sebarang perlanggaran melebihi had itu meningkatkan risiko kematian secara mendadak.
Dalam pada itu, berdasarkan statistik tahun 2023, negara merekodkan hampir 600,000 kes kemalangan jalan raya dan 6,473 kematian – bersamaan satu kemalangan setiap 53 saat dan satu kematian setiap 80 minit.
Daripada jumlah itu, lebih 67 peratus korban melibatkan penunggang serta pembonceng motosikal.
Kulanthayan berkata pelaksanaan had laju 30km/j perlu disokong dengan infrastruktur selamat seperti papan tanda khas, bonggol jalan, lintasan pejalan kaki, lorong basikal, kawasan menunggu bas dan pemakaian reflektor serta topi keledar untuk murid yang berbasikal.
Katanya budaya sifar saman, sifar kemalangan dan sifar kematian jalan raya perlu digerakkan secara menyeluruh dengan penglibatan kerajaan, industri, komuniti, syarikat insurans dan automotif.
Menurut beliau, penggunaan teknologi seperti kamera pemantau, kamera elektronik dan kamera papan pemuka (dashcam) juga wajar diperluaskan untuk tujuan pemantauan serta penguatkuasaan lebih berkesan.
Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan kerajaan akan menggazetkan had laju 30km/j di semua zon sekolah berikutan purata 70 kematian direkodkan setiap tahun di kawasan berkenaan.
Langkah itu sejajar dengan cadangan WHO bahawa had laju 30km/j di kawasan berpenduduk, sekolah dan zon pejalan kaki sebagai langkah terbukti secara saintifik dalam mengurangkan risiko maut dan kecederaan parah.
Minggu Keselamatan Jalan Raya Sedunia juga menyeru negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memperluas pelaksanaan inisiatif ini bagi mencapai sasaran pengurangan 50 peratus kadar kematian dan kecederaan akibat kemalangan menjelang 2030.
-- BERNAMA