KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Perasaan bercampur baur antara teruja, takut dan gemuruh jelas terlihat pada wajah pelatih wanita yang mendaftar untuk menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2/2025 di Kem 515 Askar Wataniah di sini pagi ini, dengan rata-rata meluahkan rasa tidak sabar untuk memulakan program berkenaan.
Bakal berkampung di kem tersebut selama 45 hari, seorang daripada pelatih Nur Adila Syafinas Mohd Shafirdaus, 18, sanggup hadir ke program itu secara sukarela selepas namanya tidak terpilih secara automatik di laman sesawang Jabatan Latihan Khidmat Negara.
Gemar pada aktiviti lasak, gadis kelahiran Kepong itu berkata dia teruja untuk mengikuti modul latihan yang disediakan PLKN kerana amat meminati bidang ketenteraan.
“Apabila nama tidak dipilih, saya terus mengisi borang latihan secara sukarela di laman sesawang berkenaan dan diterima. Ibu bapa saya juga tidak membantah untuk saya sertai latihan ini sebab mereka tahu saya minat aktiviti lasak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mendaftar di kem berkenaan.
Pelatih dari Sabah, Ivyanna Errica Peter, 18, pula berkata dia mahu menggunakan peluang menyertai PLKN bagi melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu terutama kemahiran hidup agar menjadi insan yang lebih baik dan matang.
V. Manissa ,18, dari Negeri Sembilan pula berkata perasaan bimbang yang bermain di fikiran sebelum mendaftar bagi mengikuti PLKN hilang sebaik menjejakkan kaki ke kem berkenaan terutama dengan layanan serta sapaan mesra yang diterima daripada pelatih lain.
“Pada mulanya agak takut dan risau untuk ke sini kerana tidak kenal sesiapa, saya harap dapat buat ramai kawan di sini,” katanya.
Sebanyak 550 pelatih dipilih menjalani PLKN 3.0 Siri 2/2025 membabitkan 200 pelatih wanita di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di sini manakala 350 pelatih lelaki ditempatkan di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah di Pekan, Pahang.
Sebelum ini, 116 pelatih PLKN 3.0 Siri 1/2025 berjaya menamatkan latihan selama 45 hari dari 12 Jan hingga 25 Feb lepas di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di sini.
PLKN 3.0 siri pertama yang dilaksanakan selepas tujuh tahun dimansuhkan itu melibatkan 73 pelatih lelaki dan 43 pelatih wanita berusia antara 18 hingga 25 tahun.
Pelaksanaan semula program itu secara berperingkat bertujuan memupuk semangat patriotisme, perpaduan nasional dan jati diri dalam kalangan belia Malaysia, selain membekalkan mereka dengan ketahanan fizikal dan mental dalam menghadapi cabaran hidup.
-- BERNAMA