DUNIA

IRAN TEGAS PERTAHANKAN HAK NUKLEARNYA - MENTERI LUAR

11/05/2025 08:27 PM

DOHA, 11 Mei (Bernama-Xinhua) -- Iran tidak akan berundur daripada hak nuklearnya dalam rundingan dengan Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Luar Iran Seyed Abbas Araghchi pada Sabtu, sehari sebelum pusingan keempat rundingan tidak langsung antara kedua-dua negara di Oman, lapor Xinhua.

Berucap pada Persidangan Dialog Arab-Iran Keempat di Doha, Araghchi menegaskan bahawa Iran sentiasa menjadi anggota yang komited kepada Perjanjian Pencegahan Proliferasi Senjata Nuklear dan mempertahankan haknya untuk menggunakan tenaga nuklear bagi tujuan aman, termasuk pengayaan uranium.

“Kami tidak berhasrat membangunkan senjata nuklear dan senjata pemusnah besar-besaran tidak mempunyai tempat dalam doktrin keselamatan Iran,” katanya. “Atas sebab itu, kami antara pihak yang mencadangkan penubuhan zon bebas senjata nuklear di rantau Asia Barat.”

Araghchi turut menegaskan bahawa Iran terus terlibat dalam rundingan dengan AS serta negara lain secara jujur dan konstruktif.

“Jika matlamat rundingan ini ialah untuk memastikan Iran tidak memiliki senjata nuklear, ia adalah sasaran yang boleh dicapai sepenuhnya dan satu persetujuan berada dalam jangkauan,” katanya.

Namun begitu, jika matlamatnya ialah untuk menafikan hak nuklear Iran atau mengenakan tuntutan tidak realistik, maka Iran tidak akan berundur daripada mana-mana hak berkenaan, katanya.

Delegasi Iran dan AS mengadakan tiga pusingan rundingan tidak langsung setakat ini dengan yang pertama dan ketiga di Muscat, ibu negara Oman pada 12 dan 26 April, manakala pusingan kedua diadakan di Rom, Itali pada 19 April.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan