SEREMBAN, 12 Mei (Bernama) -- Pemilihan PKR 2025 adalah asas penting ke arah memperkuatkan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli.
Beliau berkata barisan pemimpin baharu yang akan dipilih perlu berkerja keras untuk memperkukuh parti dan mampu menyelesaikan pelbagai isu dibangkitkan rakyat terutamanya ekonomi dan rasuah.
“Tugas parti adalah untuk menang PRU, maksudnya kita kena penuhi cita rasa pengundi, pastikan apa yang diungkapkan bersesuaian dan memperkuatkan parti. Jawatan itu adalah amanah besar," katanya ketika berucap pada Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) di sini malam tadi.
Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad yang kedua-duanya merupakan Naib Presiden PKR.
Sementara itu, Aminuddin berharap proses pengundian yang berbaki kira-kira 10 hari lagi dapat berlangsung dengan baik dan positif memandangkan pemilihan parti kali ini penting bagi menghadapi PRU.
“Apa yang perlu adalah doa, kesungguhan dan keyakinan, kita perlu pemimpin yang sanggup berjuang, kita akan pastikan Keadilan terus berjaya,” katanya.
Nik Nazmi pula berkata suasana kali ini sedikit berlainan kerana PKR merupakan parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan dan Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim pula Perdana Menteri sekali gus menjadikan pemilihan kali ini lebih mendapat perhatian umum.
“Sebab itu dalam pemilihan ini, kita tidak mahu mengganggu parti, siapa yang bertanding tiada masalah, kita mahu pemilihan berlangsung dengan positif, telus dan baik,” katanya.
Pada pemilihan PKR kali ini, jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Rafizi dan Nurul Izzah manakala Anwar tidak dicabar bagi jawatan Presiden.
Bagi jawatan Naib Presiden, 12 pemimpin mengemukakan pencalonan masing-masing termasuk empat penyandang iaitu Aminuddin, Nik Nazmi, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Kongres Nasional PKR termasuk Kongres Angkatan Muda Keadlan (AMK) dan Kongres Wanita dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru manakala 23 Mei ditetapkan sebagai hari pengundian.
-- BERNAMA