AM

PM ANWAR ADAKAN LAWATAN RASMI KE RUSIA MULAI ESOK

12/05/2025 01:02 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Rusia mulai esok hingga Jumaat ini atas undangan Presiden Rusia Vladimir Putin.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata lawatan itu merangkumi kunjungan ke Moscow dari esok hingga Khamis dan Kazan, Tatarstan pada Khamis dan Jumaat.

“Semasa di Moscow, Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucapan di Moscow State Institute of International Relations University (MGIMO), mengadakan pertemuan dengan ahli perniagaan Rusia serta bertemu diaspora Malaysia di sana.

“Perdana Menteri turut dijadual menghadiri Forum Ekonomi Antarabangsa KazanForum ke-16 atas jemputan Rais (Presiden) Republik Tatarstan Rustam Minnikhanov,” katanya semasa Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia hari ini.

Tunku Nashrul berkata semasa di Kazan, Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama pada sesi plenari KazanForum pada Jumaat, menyampaikan ucapan di Mesyuarat Strategic Vision Group dan mengadakan pertemuan dengan Rais Tatarstan.

Tunku Nashrul turut memaklumkan, sejurus kembali dari lawatan tersebut, Perdana Menteri akan menghadiri Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA 2025) bertemakan “Innovate Today, Thrive Tomorrow” yang dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 24 Mei.

“Perdana Menteri menekankan bahawa LIMA 2025 bukan sekadar pameran aset dan teknologi tetapi medan strategik untuk membina kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi pendidikan dengan menghimpunkan pemain utama dalam sektor pertahanan dan penerbangan komersial termasuk dalam bidang MRO (penyelenggaraan pembaikan dan baik pulih), IoT (Internet Pelbagai Benda), satelit dan teknologi angkasa.

“Perdana Menteri turut mengarahkan supaya penganjuran LIMA kali ini memberi penekanan kepada pemerkasaan syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana agar dapat menembusi pasaran antarabangsa melalui inovasi,” katanya. 

Beliau berkata LIMA juga akan memangkin pertumbuhan ekonomi dengan menarik pelaburan langsung asing dan merancakkan pelancongan serta perdagangan luar negara.

“Perdana Menteri mendoakan agar semua urusan persediaan berjalan lancar dan mengalu-alukan kehadiran pempamer, pelabur dan pelawat dari dalam dan luar negara untuk menjayakan LIMA 2025 sebagai antara edisi yang bermakna dalam sejarah penganjurannya,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan