AM

JURURAWAT BARISAN HADAPAN, SANTUNI INSAN TIDAK DIKENALI DENGAN PENUH IHSAN - AHMAD ZAHID

12/05/2025 03:15 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Jururawat merupakan barisan hadapan yang sentiasa bersedia tanpa mengira masa dan keadaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sempena Hari Jururawat Sedunia 2025 hari ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyeru semua jururawat agar terus memberikan khidmat cemerlang dalam memperkukuh sistem kesihatan negara.

Menerusi catatan di Facebook, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh jururawat di Malaysia atas jasa, keprihatinan dan dedikasi yang tidak ternilai.

"Saat kita sedang lena berehat, merekalah yang berjaga sepanjang malam memantau pesakit. Saat kita meluangkan masa bersama keluarga, merekalah yang berdiri teguh di wad, bilik rawatan dan ambulans, menyantuni insan yang tidak mereka kenali dengan penuh ihsan. 

"Semoga Allah SWT merahmati setiap usaha murni kalian," katanya menerusi hantaran itu.

Hari Jururawat Antarabangsa disambut setiap 12 Mei bagi menghargai sumbangan para jururawat kepada masyarakat.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan