BERITA TERGEMPAR   Kemalangan lori FRU : Angka kematian meningkat sembilan orang - Polis | 
 DUNIA

BURSA MALAYSIA DIBUKA TINGGI

13/05/2025 10:23 AM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia memulakan minggu ini dengan sentimen positif hari ini, sejajar dengan kenaikan di Wall Street selepas Amerika Syarikat (AS) dan China bersetuju untuk menghentikan sementara pertikaian perdagangan mereka selama 90 hari.

Ini termasuk mengurangkan tarif secara sementara kepada 10 peratus bagi AS dan 30 peratus bagi China.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 21.65 mata atau 1.40 peratus kepada 1,568.15 daripada 1,546.50 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 14.89 mata kepada 1,561.39.

Jumlah dagangan sebanyak 348.28 juta saham bernilai RM318.34 juta.

Suasana pasaran positif, dengan 546 kaunter untung mengatasi 114 kaunter rugi, 240 kaunter tidak berubah, 1,483 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata hasil 10 tahun AS naik kepada 4.473 peratus walaupun ekonomi AS berjaya mengelak krisis inflasi yang serius.

Bursa tempatan akan menyambung semula dagangan hari ini selepas prestasi kurang menggalakkan minggu lepas.

Thong berkata FBM KLCI dijangka meningkat hari ini.

“Kami menjangka indeks akan diniagakan dalam julat 1,550 hingga 1,570 hari ini,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 13 sen kepada RM10.02, Public Bank menambah dua sen kepada RM4.46, Tenaga Nasional meningkat 12 sen kepada RM14.42 dan CIMB menokok 28 sen kepada RM7.15. Kuala Lumpur Kepong mendatar pada RM19.80.

Dalam dagangan aktif, Inari naik 28 sen kepada RM2.22, Harvest meningkat 1.5 sen kepada 16.5 sen dan Nationgate menambah 8.0 sen kepada RM1.66 manakala Jaikun dan CBH Engineering, masing-masing mendatar pada 3.0 sen dan 24 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 138.30 mata kepada 11,688.34, Indeks FBMT 100 naik 171.88 mata kepada 11,457.81 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 160.74 mata kepada 11,636.50.

Indeks FBM 70 naik 303.96 mata kepada 16,617.66 dan Indeks FBM ACE meningkat 33.58 mata kepada 4,716.53.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 254.49 mata kepada 18,309.78, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 2.02 mata kepada 156.46, Indeks Tenaga menambah 15.09 mata kepada 708.53 dan Indeks Perladangan menokok 28.02 mata kepada 7,274.45.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan