KUCHING, 13 Mei (Bernama) -- Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) Borneo 2025, yang bermula hari ini membuka satu lembaran baharu dalam mempamerkan kecemerlangan industri dan menghimpunkan pemain-pemain utama untuk meneroka idea dan teknologi baharu.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ICW Borneo 2025 yang bertemakan "Pembinaan Inovatif untuk Masa Depan Mampan" bukan sekadar perhimpunan industri semata-mata; ia mewakili penumpuan strategik yang menyatukan minda, pasaran dan misi.
“Kita berada di sini untuk meneroka bagaimana sektor pembinaan boleh dibayangkan semula dalam menghadapi perubahan iklim, perbandaran pesat, gangguan teknologi serta keperluan mendesak untuk pembangunan mampan di seluruh Asia Tenggara,” katanya dalam ucapan alu-aluannya.
Acara dua hari itu dirasmikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini hari ini.
Nanta berkata Sidang Kemuncak Kemampanan Pembinaan akan menjadi antara komponen utama ICW Borneo 2025, yang menampilkan sesi merangsang pemikiran bersama pemimpin-pemimpin industri dan penggubal dasar.
Antara topik sesi yang akan dibincangkan iaitu "Revolusi Hidrogen: Hala Tuju Sarawak ke Arah Ekonomi Tenaga Hijau", "Memacu Pertumbuhan Mampan Melalui Tenaga Bersih", "Inovasi dalam Pembinaan dan Strategi ESG", serta "Bahan Binaan Inovatif dan Hijau".
Beliau juga berkata BuildXpo Borneo akan menjadi satu lagi komponen utama, dengan lebih 20 organisasi mengambil bahagian untuk mempamerkan teknologi pembinaan, bahan dan sistem termaju yang disesuaikan dengan keperluan infrastruktur di Asia Tenggara yang semakin berkembang.
“Tahun ini saya berbesar hati untuk memaklumkan penyertaan antarabangsa yang meningkat termasuk dari China, yang menunjukkan kerjasama ASEAN–China yang semakin berkembang dalam pertukaran infrastruktur dan teknologi,” katanya.
Seminar strategik dan mesyuarat teknikal turut akan diadakan, merangkumi topik seperti Revolusi Pembinaan 4.0 (CR4.0), pensijilan pengurusan kemudahan serta Mesyuarat Kumpulan Kerja Bangunan dan Pembinaan ASEAN.
“Forum-forum ini bukan sekadar platform untuk paparan – ia merupakan platform untuk hubungan dan transformasi serta merupakan kunci bagi membentuk ekosistem pembinaan ASEAN yang lebih bersepadu dan berfokus kepada masa depan,” tambahnya.
ICW Borneo 2025 dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Kerja Raya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia dan Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd.
-- BERNAMA