AM

UM MENGORAK LANGKAH KE ARAH AUTONOMI PENUH - NAIB CANSELOR

13/05/2025 05:55 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Universiti Malaya (UM) sedang mengorak langkah ke arah autonomi penuh tanpa bergantung sepenuhnya kepada kerajaan, kata Naib Canselornya Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman.

Beliau berkata pendekatan rintis, radikal dan berani itu akan menyaksikan UM bergerak ke arah memperoleh kebebasan sepenuhnya dari segi tadbir urus, kemasukan pelajar, kewangan dan akademik tanpa mengabaikan tanggungjawab sosial korporat. 

"Sebagai sebuah universiti yang sudah lama, sudah matang, sepatutnya bergerak ke arah autonomi yang tidak mengharapkan bantuan sepenuhnya daripada kerajaan.

“Jadi, UM perlu berfikir secara kreatif bagaimana hendak menggunakan kelebihan yang ada dalam universiti untuk menjadikan universiti ini berautonomi," katanya kepada Bernama selepas hadir ke sesi strategik media UM bersama pengurusan tertinggi beberapa organisasi media tempatan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman, Editor Eksekutif (Perkhidmatan Berita) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Haikal Mohd Isa dan Editor Kumpulan Harian Metro Hussain Jahit.

Noor Azuan berkata pada masa ini terdapat kira-kira 1.2 juta mahasiswa di seluruh negara dengan 600,000 menuntut di 20 universiti awam manakala selebihnya di lebih 300 institusi swasta.

 “Sehubungan itu, universiti perlu kreatif dalam mendapatkan dana tanpa kita mengabaikan aspek kualiti dan untuk itu, promosi daripada media dan pengiklanan juga sangat penting untuk menarik minat mahasiswa antarabangsa datang ke Malaysia,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pengamal media atas liputan dan sokongan berterusan terutama dalam menyampaikan mesej, inisiatif, usaha dan pencapaian universiti kepada masyarakat.

“Kita sangat menghargai peranan media yang bukan sahaja membantu UM, malah menyokong pembangunan semua universiti di Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan pandangan agar universiti awam diberikan kuasa penuh supaya dapat membuat keputusan sendiri dalam menentukan keutamaan masing-masing.

Perkara itu dinyatakan dalam Majlis Perasmian Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Wacana Pemikir Global 2024 yang menyaksikan Perdana Menteri mahukan KPT memberi banyak ruang kepada pimpinan universiti melaksanakan program mempertingkatkan mutu pendidikan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan