Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail
MOSCOW,14 Mei (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bercadang untuk bekerjasama dengan rangkaian media antarabangsa TV BRICS untuk mengembangkan liputan berita global dan serantau sekali gus memaparkan peningkatan penekanan terhadap kerjasama media rentas sempadan.
Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai berkata kedua-dua pihak berharap untuk bekerjasama dan pada masa sama menekankan kepentingan untuk Selatan Global mempunyai akses kepada pandangan yang alternatif dan pelbagai dalam dunia multipolar.
Beliau berkata cadangan kerjasama ini susulan mesyuarat sebelum ini di Kuala Lumpur, bertujuan memacu pertukaran kandungan, penghasilan bersama laporan rencana, dan latihan, memandangkan Malaysia telah mendapat status penglibatan dalam BRICS.
Pada Oktober tahun lepas, Malaysia diiktiraf sebagai antara 13 negara yang secara rasminya disenaraikan sebagai negara rakan BRICS semasa Rusia menjadi pengerusi, satu blok yang secara kolektif merangkumi satu perlima daripada perdagangan global.
“Antara bidang utama kerjasama yang sedang dibincangkan dengan TV BRICS adalah ekonomi, perniagaan, kecerdasan buatan (AI), pelancongan, kesihatan dan inisiatif hijau,” katanya selepas bertemu rakan sejawatnya Ivan Polykavoc dan pegawai kanan TV BRICS di sini pada Isnin.
Bernama berharap dapat memperluas capaian menerusi kerjasama dengan TV BRICS, sebuah platform media multilateral yang menghubungkan Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, kata Wong.
TV BRICS yang beribu pejabat di Rusia pula berhasrat untuk bekerjasama dengan Bernama bagi memperkasakan perspektif Asia Tenggara kepada audiens global dan pada masa sama mendapat kandungan yang lebih bernilai daripada negara-negara membangun lain.
“Kerjasama ini adalah peluang yang tepat pada masanya untuk Bernama menyampaikan suara Malaysia dan perkembangan ASEAN kepada khalayak antarabangsa yang lebih luas,” katanya.
BRICS yang pada awalnya dianggotai oleh Brazil, Rusia, India dan China telah ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama bagi ekonomi atau negara-negara pesat membangun dan disusuli dengan penyertaan Afrika Selatan pada 2010.
Blok itu kemudiannya berkembang dengan penyertaan Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu.
Brazil juga merupakan pengerusi BRICS bagi 2025.
Sambil menekankan dasar berkecuali Malaysia, Wong berkata Bernama juga berhasrat untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana agensi berita utama.
“Kami berharap Bernama dapat menjadi penghubung Asia dan negara-negara Selatan Global,” katanya.
Selain itu, Wong turut mengadakan pertemuan berasingan dengan Ketua Pengarah agensi berita Rusia (TASS) Andrey Kondrashov.
Beliau mengucapkan tahniah kepada TASS di atas sambutan ulang tahun ke-120 agensi itu pada tahun lepas dan menyifatkannya sebagai satu pencapaian luar biasa dalam bidang kewartawanan.
“Bernama berbesar hati dapat menjadi rakan TASS yang telah wujud untuk satu tempoh lama, malah menjadi satu institusi di Rusia," katanya.
Kondrashov pula berkongsi harapan TASS untuk meningkatkan lagi kerjasama dengan Bernama.
Selain itu, Wong menyatakan minat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai peralatan AI yang digunakan oleh TASS bagi menyemak berita palsu serta sumbernya.
Dalam pada itu, Wong akan berkongsi pandangannya mengenai pembangunan media di Forum Ekonomi Antarabangsa Rusia-Dunia Islam ke-16 atau KazanForum 2025.
-- BERNAMA