KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengucapkan selamat jalan kepada 500 bakal jemaah haji rombongan Kerajaan Johor yang akan berlepas ke Tanah Suci bagi musim ibadah haji 1446H/2025M.
Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda turut mendoakan semua jemaah haji dikurniakan kesihatan yang baik, dilancarkan urusan ibadah serta dipermudahkan sepanjang perjalanan.
“Rombongan pertama jemaah haji Kerajaan Johor akan berangkat ke Tanah Suci malam ini (14 Mei) dan seterusnya pada Khamis dan Sabtu.
“Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) turut menyumbang 500 pek makanan kepada rombongan berkenaan yang disampaikan oleh Datuk Avinderjit Singh, Pemegang Amanah Urusan YSIJ,” menurut hantaran itu.
Sumbangan itu disampaikan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor Nasri Md Ali di Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru hari ini, dan turut hadir semasa penyampaian sumbangan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ Mohd Anizam Jamian.
Dalam hantaran sama, Avinderjit berkata menerusi pemberian pek makanan kepada jemaah, sedikit sebanyak ia akan dapat memudahkan urusan mereka semasa menunaikan ibadah haji.
-- BERNAMA