MELAKA, 14 Mei (Bernama) -- Lebih 30,000 pengunjung khususnya golongan belia dijangka memeriahkan Sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh di sini, dari 11 hingga 13 Jun ini.
Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata pelbagai pengisian dianjurkan sepanjang sambutan berkenaan seperti seminar, bengkel dan pertandingan berasaskan inovasi, teknologi serta teknikal.
Beliau berkata 12 kementerian dijangka terlibat dalam penganjuran sambutan berkenaan, antaranya Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
“Sambutan Hari TVET Negara 2025 melibatkan empat tunjang (dalam bidang TVET) iaitu pihak industri, institusi, badan bukan kerajaan dan agensi kerajaan negeri serta Persekutuan.
“Tambahan pula, di setiap kementerian terbabit ada institusi TVET masing-masing dan kita dapat belajar banyak perkara berhubung bidang terlibat secara lebih jelas dengan libat urus bersama industri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan seminar HR Insights 2025: Workforce and Payroll Transformation in Manufacturing yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Berhad Datuk Ginie Lim Siew Lin.
Khaidhirah berkata orang ramai terutama golongan belia di Melaka, Johor dan Negeri Sembilan digesa mengambil peluang untuk hadir bagi memeriahkan sambutan berkenaan, selain meninjau peluang pekerjaan atau pembelajaran bagi meningkatkan kemahiran dan ilmu berkaitan TVET.
“Bidang TVET bukan hanya untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, sebaliknya semua peringkat umur kerana tiada had umur untuk mempelajari TVET.
“Menerusi TVET, pekerja sedia ada juga berpeluang menyertai program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula yang ditawarkan dalam bidang ini demi masa depan yang lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri menerusi Majlis TVET Melaka sentiasa bergerak seiring dengan Majlis TVET Negara bagi memastikan negeri itu tidak ketinggalan dalam perkembangan bidang berkenaan.
“Kita sentiasa memainkan peranan secara aktif dan agresif dalam pelaksanaan apa jua agensi memperkasa TVET bukan sahaja di peringkat institusi pendidikan tetapi juga di peringkat industri,” katanya.
-- BERNAMA