Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail
MOSCOW, 14 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia Vladimir Putin hari ini, yang merupakan agenda utama lawatan rasmi empat hari beliau ke Rusia.
Pertemuan di Kremlin, di sini dijadualkan bermula 1 tengah hari (6 petang waktu Malaysia).
Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan pelbagai isu dua hala dan potensi kerjasama Malaysia-Rusia dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan, pelaburan, pertanian dan agrikomoditi, pendidikan, aeroangkasa dan tenaga.
Kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa, yang menjadi kepentingan bersama.
Anwar juga dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Rusia Mikhail Mishutin.
Anwar yang mengetuai lebih 70 delegasi Malaysia dalam rangka lawatan empat hari ke Moscow dan Kazan, Tatarstan bermula semalam.
Selepas mengadakan pertemuan dengan Putin, Perdana Menteri dijadual menerima kunjungan Mufti Besar Persekutuan Rusia Sheikh Ravil Gaynutdin.
Anwar akan diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Li Kang; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Pada sebelah pagi, beliau dijadualkan menghadiri Mesyuarat Meja Bulat Bersama Pemimpin Industri Persekutuan Rusia.
Mesyuarat berkenaan disertai 24 syarikat utama di Rusia dan dua Majlis Perniagaan yang diwakili oleh pemimpin-pemimpin industri bagi membincangkan kerjasama strategik dalam meningkatkan perdagangan dua hala di antara Malaysia dan Rusia.
-- BERNAMA