PUTRAJAYA, 14 Mei (Bernama) -- Jemaah Menteri memberi masa sebulan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk melengkapkan laporan berhubung nahas jalan raya yang mengorbankan nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak, semalam.
Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata laporan tersebut akan disiapkan oleh satu jawatankuasa khas yang akan meneliti aspek bukan jenayah dalam insiden berkenaan.
"Jemaah Menteri memutuskan laporan daripada MOT perlu disiapkan dalam tempoh sebulan dan dibentangkan semula kepada Jemaah Menteri sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata laporan yang bakal dikeluarkan jawatankuasa khas tersebut adalah berasingan dengan siasatan yang dilaksanakan pihak polis.
Terdahulu Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata MOT akan menubuhkan pasukan petugas khas yang melibatkan pakar dan ahli bebas untuk menyiasat kemalangan maut itu, yang berlaku di Jalan Chikus-Sungai Lampam pada 8.50 pagi semalam.
Sementara itu Fahmi berkata MOT juga akan mengeluarkan kenyataan berhubung penemuan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang memutuskan Rusia bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17, dalam masa terdekat.
Beliau berkata MOT sedang melakukan koordinasi bersama Wisma Putra sebelum mengeluarkan kenyataan berkenaan.
"Menteri Pengangkutan memaklumkan bahawa kenyataan media akan diterbitkan sebagai respons kepada kenyataan ICAO itu. Kita boleh jangkakan (ia akan dikeluarkan) dalam masa terdekat," katanya.
Isnin lepas ICAO, sebuah majlis penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memutuskan bahawa Rusia bertanggungjawab atas insiden pesawat MH17 yang ditembak jatuh di ruang udara Ukraine, mengorbankan semua 298 penumpang dan anak kapal pada 17 Julai 2014.
ICAO akan menimbangkan bentuk pampasan yang sesuai dalam beberapa minggu akan datang.
-- BERNAMA