KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman Pelbagai Hala Dipertingkatkan (EMMoU) dengan Pertubuhan Suruhanjaya Sekuriti Antarabangsa (IOSCO).
EMMoU berkenaan berkaitan perundingan dan kerjasama serta pertukaran maklumat yang menekankan komitmen terhadap pemeliharaan integriti pasaran selain melindungi kepentingan pelabur.
Pengerusinya Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata EMMoU juga mempamerkan sokongan teguh SC terhadap kerjasama penguatkuasaan antarabangsa.
“Ini sangat tepat pada masanya kerana sifat pasaran kewangan global yang semakin saling berkait memerlukan kerjasama antarabangsa bagi menangani isu seperti penipuan sekuriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Majlis pemeteraian itu diadakan bersempena dengan mesyuarat tahunan IOSCO apabila SC, Pihak Berkuasa Pasaran Modal (CMA) Kenya dan Comisión Nacional del Mercado de Valores (CNMV) Sepanyol menyertai 27 ahli IOSCO yang sudah menjadi penandatangan EMMoU.
EMMoU membolehkan para penandatangan memanfaatkan bentuk bantuan merentas sempadan terkini bagi meningkatkan keberkesanan penyiasatan dan penguatkuasaan.
Mohammad Faiz menandatangani EMMoU di hadapan ahli IOSCO pada hari terakhir Mesyuarat Tahunan IOSCO yang berlangsung dari 12 hingga 14 Mei 2025 di Doha, Qatar.
Mesyuarat tahunan IOSCO merupakan forum utama apabila ahli-ahli membincangkan isu penting berkaitan dengan pasaran sekuriti dan niaga hadapan global.
Mesyuarat itu berfungsi sebagai platform untuk berkongsi maklumat, menyelaraskan penguatkuasaan peraturan sekuriti dan melaksanakan piawaian bersama dengan tujuan untuk mengukuhkan rangka kerja pengawalseliaan global bagi pasaran kewangan.
-- BERNAMA