AM

MALAYSIA-RUSIA KOMITED PERKUKUH HUBUNGAN DUA HALA, TEROKA RUANG KERJASAMA BAHARU

14/05/2025 08:54 PM

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail

MOSCOW, 14 May (Bernama) -- Malaysia dan Rusia komited untuk terus memperkukuh hubungan dua hala dan meneroka ruang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang strategik serta pertukaran budaya dan saintifik.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata komitmen bersama itu dicapai semasa pertemuan dua hala beliau dengan Perdana Menteri Rusia Mikhail Mishustin di sini bersama delegasi kedua-dua negara.

"Saya menzahirkan penghormatan kepada Perdana Menteri Mishustin atas usaha beliau melaksanakan reformasi institusi di Rusia, satu pendekatan yang selari dengan agenda reformasi yang sedang digerakkan di Malaysia menerusi dasar Kerajaan MADANI.

"Dalam pertemuan ini, kami menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala dan meneroka ruang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang strategik termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan tinggi, kesihatan, tenaga, pertanian, pelancongan serta pertukaran budaya dan saintifik," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Mishustin.

Anwar tiba di Moscow pada Selasa untuk lawatan rasmi empat hari sebelum meneruskan segmen kedua lawatan ke Kazan, Tatarstan pada 15 Mei.

Lawatan rasmi itu adalah atas undangan Presiden Rusia Vladimir Putin.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, mengetuai delegasi terdiri daripada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Mengulas lanjut, beliau berkata Malaysia menghargai pelbagai mekanisme kerjasama yang telah diwujudkan termasuk Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan (JCESTC) yang akan bersidang semula di Langkawi hujung tahun ini.

"Daripada segi perdagangan, saya menyatakan hasrat Malaysia untuk menggandakan eksport produk bernilai tambah tinggi ke Rusia seperti peranti perubatan, bahan binaan dan panel solar di samping meningkatkan eksport komoditi utama seperti koko dan minyak sawit," katanya.

 Perdana Menteri berkata Malaysia turut mengalu-alukan pelaburan langsung asing dari Rusia terutama dalam sektor teknologi tinggi seperti aeroangkasa, ekonomi digital, tenaga dan agroteknologi selain menggalakkan kerjasama penyelidikan dan pembangunan bersama.

Anwar juga berkata kedua-dua pihak turut berbincang mengenai penyambungan semula penerbangan terus Aeroflot ke Malaysia serta langkah-langkah meningkatkan keterhubungan dan pertukaran rakyat antara kedua-dua negara.

"Sebagai tanda keakraban hubungan yang semakin erat, saya turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Perdana Menteri Mishustin untuk mengadakan lawatan ke Malaysia bersama delegasi kerajaan dan perniagaan Rusia dalam masa terdekat," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan