DUNIA

PUTIN ANGGAP MALAYSIA RAKAN YANG BOLEH "DIPERCAYAI DAN PENTING" BAGI RUSIA

14/05/2025 09:45 PM

MOSCOW, 14 Mei (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Presiden Rusia Vladimir Putin menyifatkan Malaysia sebagai rakan yang boleh dipercayai dan penting bagi Rusia semasa pertemuannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Moscow pada Rabu, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Perdana menteri Malaysia tiba di Moscow untuk lawatan rasmi pada Selasa.

“Tuan Perdana Menteri yang dihormati, para sahabat sekalian, izinkan saya mengalu-alukan anda ke Moscow. Malaysia ialah rakan lama kami yang sangat boleh dipercayai dan penting, sama ada secara umum mahupun di Asia Tenggara,” kata Putin semasa pertemuan itu.

Presiden Rusia itu berkata hubungan ekonomi antara Rusia dan Malaysia kekal stabil, dan meskipun perdagangan dua hala mencatat sedikit penurunan tahun lepas, tahapnya masih baik.

“Suruhanjaya Antara Kerajaan harus memberi perhatian terhadap perkara ini, mencari punca dan mengambil langkah bagi memastikan trend pembangunan yang positif,” tambah Putin.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan