EKONOMI

LANJUT ECRL KE SUNGAI GOLOK TINGKAT PERDAGANGAN MALAYSIA-THAILAND – DUTA THAILAND

15/05/2025 09:11 AM

Oleh Abdul Hamid A Rahman and Mikhail Raj Abdullah

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Malaysia yang bermula di Kota Bharu, Kelantan dicadang supaya dilanjutkan ke sempadan Sungai Golok bagi meningkatkan keterhubungan rel di antara Thailand dengan Malaysia, kata Duta Besar Thailand ke Malaysia Lada Phumas.

Beliau berkata keterhubungan di sempadan itu penting bagi mempertingkatkan perdagangan dan logistik kedua-dua negara.

“Kami mempunyai stesen kereta api di Sungai Golok yang kini perlu diterokai cara menghidupkannya semula selain memanfaatkannya supaya ECRL dapat dilanjutkan dan disambungkan ke rangkaian rel di pihak Thailand.

"Dari situ, ia boleh disambungkan ke Hatyai iaitu bandar sempadan berjiran dengan Padang Besar di pihak Malaysia yang boleh memudahkan integrasi logistik lebih baik selain meningkatkan keterhubungan rel serantau,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di sini hari ini.

Duta itu berkata penyambungan sistem rel merentasi rantau ini yang menghubungkan Singapura, Malaysia, Laos dan China dengan potensi peluasan selanjutnya akan mengukuhkan hubungan serantau.

Beliau berkata projek Pan-Asia Railway Network (PARN) merupakan inisiatif infrastruktur utama yang menghubungkan China, Singapura dan semua negara di tanah besar Asia Tenggara.

Malaysia giat membangunkan segmennya dalam rangkaian tersebut yang bertujuan mewujudkan landasan berkembar berterusan dari Johor Bahru, Johor ke Padang Besar, Perlis.

Phumas berkata penyambungan seperti itu akan menggalakkan perdagangan, meningkatkan mobiliti dan memberikan manfaat ekonomi yang besar kepada kedua-dua negara.

“Keterhubungan rel yang lebih baik akan menyediakan alternatif pengangkutan kargo yang lebih mampu milik dan cekap berbanding pilihan udara dan jalan raya,” katanya.

Selain keterhubungan rel, Phumas berkata terdapat peluang kerjasama di antara Malaysia dengan Thailand dalam industri halal dan rantaian bekalan yang berkaitan.

“Thailand boleh membekalkan bahan-bahan dan bahan mentah yang mungkin kurang di Malaysia manakala Malaysia boleh memanfaatkan kepakarannya dalam pensijilan halal bagi mengukuhkan dan memperluas rantaian bekalan halal.

"Kerjasama ini boleh memberikan manfaat bersama kepada kedua-dua negara dan membuka peluang yang besar di pasaran khususnya di negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC),” katanya.

Beliau menegaskan hal ini akan menjadi topik utama pada sidang kemuncak yang akan datang di antara ASEAN, GCC serta China yang dianggap penting kerana GCC dan China menawarkan pasaran berpotensi besar untuk produk halal.

“Dengan menyelaraskan jadual pengeluaran kedua-dua negara terutamanya dalam produk makanan, rantaian bekalan boleh dioptimumkan.

"Kerjasama ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada Malaysia dan Thailand tetapi juga menyokong rantau yang lebih luas dengan menyediakan produk halal berkualiti tinggi dan menangani isu keterjaminan makanan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan