AM

WARGA KEMENTERIAN KOMUNIKASI PERLU MANFAAT AI, JAMIN KUALITI KERJA EFISIEN - FAHMI

15/05/2025 03:24 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Warga Kementerian Komunikasi diseru supaya memanfaatkan kewujudkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menjamin tahap kualiti kerja yang lebih efisien, kata Menterinya Datuk Fahmi Fadzil.

Dalam mengingatkan warga kementerian agar tidak tidak terlalu selesa dengan penggunaan teknologi aplikasi AI, beliau berkata penggunan teknologi itu haruslah difahami secara secara bijak dan berhemah.

“Anggaplah (penggunaan aplikasi AI) seperti bila kita nak pergi ke mana-mana, kita akan buka aplikasi seperti Waze atau Google Maps. Maps ini adalah contoh AI di mana kalau kita nak pergi dari poin A ke poin B untuk elak kesesakan.

“Nasihat saya segera fahamkan, manfaatkan AI, tapi ia tidak bermakna kita harus kurang cemerlang ataupun kurang mengerah keringat. Kerja tetap kerja, tapi boleh dipermudah dengan menggunakan AI,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 Kementerian Komunikasi (Zon Semenanjung) di Auditorium Seri Angkasa Angkasapuri Kota Media di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Pada majlis itu 691 warga Kementerian Komunikasi termasuk 63 petugas Bernama mendapat APC dan menerima sijil penghargaan serta insentif bernilai RM1,000.

Mengulas lanjut Fahmi meminta setiap jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi untuk mengelolakan platform latihan AI kepada petugas masing-masing secara bulanan.

Fahmi turut menekankan kepentingan AI melakukan pengesahan dalam meneliti dan mengekang penyebaran berita palsu di platform media sosial.

“Kalau ada sesiapa di sini yang menggunakan aplikasi X, aplikasi itu telah mewujudkan satu AI yang dinamakan GROK, yang akan menganalisis sesuatu hantaran tersebut, dan sekiranya ada apa-apa perkara yang meragukan atau tidak betul, maka sering kali maklumat itu akan disediakan.

“Maksudnya kita juga boleh menggunakan AI untuk membasmi berita palsu. Cuma kita perlu berhati-hati menggunakannya,” katanya.

Fahmi mengingatkan warga Kementerian Komunikasi khususnya penerima APC supaya terus menjalankan tugas dengan amanah dan cemerlang.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua dan saya harap penerima APC 2024 jangan dilihat ada corot perkhidmatan selepas ini. Kalau kita sebelum ini berada di tahap ini, maka selepas ini kena lebih tinggi, tugas lebih berat menanti, jadikan APC sebagai penanda aras untuk lebih baik di masa depan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan