AM

PENYELIDIK USM TERIMA PENGIKTIRAFAN GLOBAL DALAM KAEDAH RAWATAN KANSER LIDAH

15/05/2025 02:46 PM

GEORGE TOWN, 15 Mei (Bernama) -- Seorang penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) meraih pengiktirafan antarabangsa atas penemuan kaedah rawatan baharu yang mengekalkan fungsi organ bagi pesakit kanser lidah menerusi pendekatan Hybrid HDRIBT followed by IMRT (HyBIRT), pada pertemuan European Society for Radiotherapy and Oncology (ESTRO) 2025 yang berlangsung di Vienna, Austria, baru-baru ini.

Profesor Madya Dr Gokula Kumar Appalanaido bersama pasukannya telah dianugerahkan ‘Sijil Abstrak Pencapaian Tinggi’ (Top-Scoring Abstract Certificate), sekali gus menempatkan penyelidikan mereka dalam kelompok lima peratus teratas kertas pembentangan terbaik di peringkat global.

USM dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejayaan berprestij di persada antarabangsa itu diperoleh melalui usaha penerokaan dalam abstrak kertas pembentangan bertajuk 'Hybrid HDRIBT followed by IMRT (HyBIRT) technique for the definitive treatment of oral tongue SCC (OTSCC) - first in human prospective study'.

"Pengiktirafan ini juga memperlihatkan USM mendahului bidang penyelidikan dan rawatan lanjutan berkaitan kanser, terutamanya dalam bidang brakiterapi (brachytherapy). 

"USM juga merupakan antara beberapa institusi di dunia yang telah dikenal pasti sebagai pusat kecemerlangan berprestij bagi rawatan brakiterapi kanser kepala dan leher oleh BrachyAcademy, sebuah organisasi saintifik yang berpengkalan di Belanda," menurut kenyataan itu.

Ahli pasukan lain yang terlibat dalam penemuan dan pembangunan kaedah HyBIRT di Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) termasuklah pakar bedah Profesor Madya Dr Yusri Musa, Dr Ahmad Fakrurrozi Mohamad, Dr Jasmin Jalil dan Profesor Madya Dr Mohd Zahri Abdul Aziz.

USM memaklumkan kejayaan penemuan itu mencerminkan kemajuan klinikal yang signifikan dalam pengaplikasian rawatan brakiterapi dan radioterapi yang dibangunkan serta dilaksanakan di Malaysia, dan kini dikenali serta diiktiraf di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan