AM

NIOSH SEDIA BANTU LATIH PEMANDU KENDERAAN BERAT GUNA MODUL LATIHAN KHUSUS

15/05/2025 07:01 PM

PUTRAJAYA, 15 Mei (Bernama) -- Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bersedia membantu melatih pemandu kenderaan berat menggunakan modul latihan khusus yang memberi penekanan kepada teknik pemanduan selamat dan berhemah.

Naib Pengerusi NIOSH G. Manivanan berkata modul latihan khusus itu telah dibangunkan oleh tenaga pakar dan pemain industri dengan mengambil kira keperluan dan cabaran dihadapi golongan terbabit.

"Program yang dibangunkan di bawah modul latihan Pemandu Berhemah dan Selamat (SDDP) itu turut meliputi aspek perundangan jalan raya, penjagaan kenderaan dan pengurusan perjalanan yang bertujuan meningkatkan kesedaran serta pencegahan kemalangan dalam kalangan pemandu.

"Modul dibangunkan NIOSH ini telah pun digunakan oleh beberapa syarikat yang menguruskan bas dan kenderaan berat untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pekerja mereka mengenai aspek keselamatan di jalan raya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Manivanan berharap lebih ramai pihak yang mengendalikan kenderaan berat akan melaksanakan program latihan SDDP itu termasuk agensi kerajaan dan pihak swasta.

Pada masa sama, beliau berkata NIOSH bersedia membantu pihak terlibat untuk melaksanakan audit keselamatan serta mengambil langkah-langkah keselamatan yang lebih ketat termasuk pelaksanaan kaedah HIRARC (Pengenalpastian Bahaya, Penilaian Risiko dan Kawalan Risiko).

Beliau berkata HIRARC ialah kaedah sistematik yang digunakan untuk membantu majikan dan pekerja mengenal pasti bahaya, menilai risiko dan melaksanakan langkah kawalan bagi menjaga aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

"Dengan mengamalkan HIRARC, semua pihak dapat memainkan peranan penting dalam memastikan tempat kerja kekal selamat dan sihat manakala undang-undang berkaitan dapat dipatuhi.

"Saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa di bawah undang-undang, setiap majikan bertanggungjawab memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja mereka semasa bekerja, termasuk memastikan kenderaan yang digunakan diselenggara dengan baik manakala pemandu mendapat latihan secukupnya," katanya.

Manivanan berkata NIOSH juga sedia bekerjasama dengan semua pihak demi memastikan kawasan tempat kerja selamat.

Beliau berkata apa yang berlaku sejak kebelakangan ini menunjukkan terdapat keperluan mendesak untuk menyelaraskan sebarang usaha meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya dengan memenuhi kehendak di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) (Pindaan) 2022, yang menuntut tanggungjawab pihak majikan untuk memastikan keselamatan pekerja mereka.

Manivanan berkata tragedi kemalangan di Perak yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Selasa lepas, menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh aspek keselamatan di jalan raya secara holistik.

"Sementara menunggu hasil siasatan menyeluruh oleh agensi berkaitan, semua pihak perlu mencari jalan untuk bekerjasama bagi memastikan insiden seumpama ini tidak akan berulang pada masa hadapan.

"Ingin saya tegaskan bahawa pemandu kenderaan berat serta mereka yang berada di dalam dan berdekatan kenderaan itu juga berhak untuk bekerja atau berada di dalam persekitaran yang selamat, sepertimana yang diperuntukkan di bawah AKKP (Pindaan) 2022," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan