KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyeru agar ditingkatkan dialog yang konstruktif dan bermaruah antara peradaban, di samping menekankan bahawa penglibatan sedemikian mesti diasaskan atas pengiktirafan bersama terhadap maruah, kekuatan dan kepelbagaian budaya.
Anwar berkata pemeliharaan keadilan, belas kasihan dan kewujudan bersama adalah penting dalam mengemudi kerumitan era pasca-normal dan kekal penting untuk menegakkan nilai-nilai bersama yang menyokong keamanan dan kestabilan global.
“Ia perlu merangkumi dialog peradaban menyeluruh, bukan satu budaya yang mengetepikan budaya yang lain, tapi pengiktirafan bersama kekuatan dan maruah. Dalam tempoh pasca normal ini, nilai-nilai seperti keadilan, belas ihsan dan kewujudan bersama tidak boleh diabaikan.
“Kita tidak boleh kehilangan jiwa maruah, nilai kemanusiaan dan rasa hormat antara satu sama lain, tanpa mengira kepercayaan yang berbeza, budaya yang berbeza," katanya.
Anwar berkata demikian semasa menyampaikan syarahan umum bertajuk “ASEAN in a Multipolar World: Perspectives from Malaysia” di Moscow State Institute of International Relations (MGIMO) hari ini (3 petang waktu Malaysia). Sesi syarahan itu disiarkan di akaun Facebook beliau.
Anwar turut dianugerahkan ijazah kedoktoran kehormat daripada MGIMO sebagai pengiktirafan atas sumbangan beliau dalam mempromosikan keamanan global dan mengukuhkan kerjasama antarabangsa.
Merujuk kepada pertemuannya dengan Presiden Rusia Vladimir Putin, Anwar berkata dialog itu menunjukkan semangat saling menghormati.
"Kami di sini atas jemputannya... daripada seorang pemimpin antarabangsa yang sangat penting kepada sebuah negara yang agak kecil di ASEAN, tapi kami diberikan perasaan dihormati, kesaksamaan dan rasa selesa, inilah sesuatu yang perlu dipupuk.
"Kita tidak percaya kepada unilateralisme. Kita perlu tunjukkan bahawa setiap komuniti, setiap negara, besar atau kecil, kaya atau miskin, mesti diberikan penghormatan dan pengiktirafan," katanya.
Beliau menambah bahawa rangka kerja MADANI Malaysia berkongsi asas yang sama dengan "jiwa Rusia" yang sering disebut oleh intelektual Rusia, yang disifatkannya sebagai konsisten dalam penekanannya terhadap keadilan, moral dan keseimbangan masyarakat.
Mengenai kerjasama serantau, Anwar mengetengahkan model yang didorong oleh konsensus ASEAN, dan memetik bagaimana blok itu secara kolektif menyokong jangkauannya kepada kedua-dua kepimpinan tentera Myanmar dan tokoh pembangkang dalam usaha meneruskan gencatan senjata dan akses kemanusiaan.
"Sebarang isu, sama ada Myanmar atau isu-isu lebih besar, mesti ditangani dengan dialog, bukan penguasaan. ASEAN membuktikan bahawa keamanan membawa kemakmuran," katanya.
Perdana Menteri turut menekankan kepentingan diplomasi budaya dan pertukaran akademik, dengan merujuk kepada kehadiran hampir 700 pelajar Malaysia di Rusia dan kira-kira 400 pelajar Rusia di Malaysia.
Beliau juga berterima kasih kepada institusi Rusia kerana memasukkan Bahasa Melayu ke dalam kurikulum mereka, dan menyatakan bahawa Universiti Malaya (UM) terus menawarkan pengajian bahasa Rusia.
-- BERNAMA