KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri menerusi media sosial masing-masing mengambil kesempatan berkongsi ucapan selamat Hari Guru yang disambut hari ini, bagi merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua guru di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menekankan bahawa setiap kejayaan yang dikecapi pada hari ini tidak dapat dipisahkan daripada jasa guru yang sabar membimbing sejak dari peringkat awal pembelajaran dan membentuk pemahaman tentang erti kehidupan.
“Merekalah insan-insan mulia yang tidak pernah jemu mencurahkan ilmu dan membentuk sahsiah pewaris masa depan negara.
“Saya percaya bahawa kekuatan sistem pendidikan negara tidak hanya terletak pada dasar dan polisi, tetapi juga bergantung kepada komitmen para guru yang mendidik dengan hati, membimbing dengan kasih, dan membina masa depan anak bangsa dengan penuh keikhlasan,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menerusi hantaran di Facebook.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada warga pendidik yang tanpa mengenal penat lelah, telah berkorban masa dan tenaga dalam melaksanakan amanah mendidik anak bangsa.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata tema sambutan Hari Guru tahun ini ‘Guru Pemacu Reformasi Pendidikan’ menyerlah peranan strategik guru sebagai penggerak utama dalam proses transformasi sistem pendidikan.
“Guru bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi agen perubahan yang membentuk dasar, pedagogi, dan budaya pembelajaran ke arah lebih progresif. Setinggi-tinggi penghargaan terhadap komitmen, keikhlasan, dedikasi dan prestasi tinggi para guru dalam membimbing murid menjadi warga cemerlang, berakhlak mulia dan insan kebanggaan negara.
“Terima kasih kepada setiap insan bergelar guru. Semoga dapat terus menyumbang bakti kepada bangsa dan negara. Jasamu akan dikenang sampai bila-bila,” katanya menerusi hantaran di Facebook yang turut memuatkan beberapa bait dalam syair penulis Ghazali Lateh.
Sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan 2025 kali ke-54 diadakan di Kuching, Sarawak.
-- BERNAMA