JENAYAH & MAHKAMAH

ENAM LELAKI DIDENDA ANTARA RM500 HINGGA RM2,000 BERI MAKLUMAT PALSU KEPADA JPN

16/05/2025 04:57 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Enam lelaki didenda antara RM500 hingga RM2,000 oleh Mahkamah Majistret berasingan di sini hari ini, selepas mengaku bersalah memberi maklumat palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi tujuan permohanan pendaftaran kelahiran.

Kesemuanya yang berusia antara 56 hingga 71 tahun itu membuat pengakuan masing-masing di hadapan Majistret Amira Abd Aziz, S. Mageswary, Farah Nabiha Muhamad Dan, Illi Marisqa Khalizan, Aina Azahra Ariffin serta Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.

Mahkamah turut memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara antara seminggu hingga tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Robert Lewis Machado, Ng Sa Ngi, Muklisin, Thian Chong Wai, How Hang Gee dan Mohd Ghazali Ghani, didakwa dengan sengaja mengemukakan maklumat palsu semasa membuat permohonan pendaftaran kelahiran bagi enam bayi di beberapa kaunter JPN di sekitar ibu negara sejak 2004 hingga 2022.

Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 36 (b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 dan penjara hingga 12 bulan atau kedua-duanya.

Selain itu, S. Rejandran, 64, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama dan mahkamah membenarkannya diikat jamin RM1,200 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Mohamad Ezuan Jamaludin, Arief Khairee Khairuddin, Mazrul Azli Matrus dan Hairul Azlin Ahmad.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan