AM

KSSA MERCU TANDA PEMBANGUNAN INKLUSIF, BERDAYA TAHAN SELANGOR

16/05/2025 05:08 PM

SHAH ALAM, 16 Mei (Bernama) --  Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) bakal menjadi lebih daripada sekadar kemudahan sukan apabila ia dibangunkan sebagai ruang inklusif dan dinamik yang merangkumi sukan, budaya, seni serta pembelajaran sepanjang hayat, sejajar dengan semangat dan nilai negeri Selangor.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah pembangunan KSSA berpaksikan rakyat, serta bersedia menghadapi masa depan, selain memelihara warisan negeri sambil menghubungkan komuniti tempatan dan antarabangsa.

Baginda bertitah kekuatan sebenar Selangor terletak kepada kesejahteraan rakyat dan Shah Alam merupakan simbol kepada aspirasi tersebut.

"Beta membayangkan sebuah Selangor yang lebih inklusif, progresif, serta menekankan kelestarian jangka panjang. KSSA adalah sebahagian penting dalam visi itu. Ia bukan sekadar stadium, sebaliknya ruang bersama untuk rakyat terlibat dalam aktiviti sukan, budaya, seni dan pendidikan," titah baginda.

Tengku Amir bertitah demikian pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (LOA) bagi pembangunan KSSA antara Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan Lembaran Prospek Sdn Bhd (LPSB), anak syarikat MRCB Land, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Amir bertitah projek berkenaan menjadi langkah besar dalam usaha pembaharuan bandar, sekali gus menetapkan penanda aras baharu dalam reka bentuk, pembinaan dan pengurusan ruang awam.

Pembangunan itu turut mengintegrasikan ciri kelestarian seperti pemulihan ekologi dan sistem mitigasi banjir bawah tanah yang canggih, termasuk kolam takungan seluas empat hektar bagi mengurangkan risiko banjir di Seksyen 13.

"Taman KSSA akan menampilkan warisan semula jadi negeri Selangor. Landskapnya akan mengekalkan habitat semula jadi seperti kawasan paya dan Hutan Warisan Diraja Selangor, sekali gus menjadi ruang interaktif antara biodiversiti dan komuniti," titah baginda.

Taman tersebut juga menyediakan kemudahan mesra semua golongan termasuk taman permainan mesra deria dan ruang seni serta persembahan, selain menyokong program pelbagai generasi berasaskan interaksi dengan alam semula jadi.

Tengku Amir turut menyuarakan harapan agar KSSA mampu menjadi ikon bertaraf global, setanding dengan Taman Olimpik Queen Elizabeth di London, Kawasan Sukan Melbourne atau Marina Bay di Singapura.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor Datuk Saipolyazan M. Yusop dan Pengerusi MRCB Datuk Mohamad Nasir Ab. Latif.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan