Oleh Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 16 Mei (Bernama) -- Beregu lelaki utama negara dan juara Asia Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyasarkan untuk merangkul gelaran Terbuka Thailand 2025 selepas menundukkan pasangan muda senegara Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King pada aksi suku akhir hari ini.
Gandingan pilihan kedua kejohanan itu tidak berdepan masalah untuk mengetepikan Wan Arif-Roy King menerusi kemenangan straight set 21-12, 21-13, sekali gus mara ke separuh akhir bertemu pilihan kelima kejohanan dari tuan rumah, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh, esok.
Aaron berkata mereka kini memberi fokus sepenuhnya kepada setiap perlawanan dan berharap merangkul gelaran tersebut tahun ini.
“Sudah tentu kami berharap dapat pergi sejauh mungkin dan muncul juara, tetapi buat masa ini, kami perlu berikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.
“Untuk esok, kami hanya perlu bersedia dan memberikan segalanya dalam perlawanan. Menang atau kalah, itu soal kedua, asalkan kami sudah beri yang terbaik,” katanya kepada Bernama selepas perlawanan.
Aaron turut menyifatkan perkembangan beregu lelaki muda seperti Wan Arif-Roy King, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal yang menyertai kejohanan utama sebagai petanda positif buat badminton negara.
Beregu muda menunjukkan peningkatan, dan kita semakin ramai beregu lelaki yang bersaing dalam kejohanan utama – ini sesuatu yang sihat untuk Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Wan Arif mengakui mereka gagal mempamerkan aksi terbaik ketika berdepan gandingan senior, Aaron-Wooi Yik, dan menekankan perlunya penambahbaikan dalam aspek tertentu.
“Sayangnya kami tak bermain pada tahap terbaik hari ini, dan itu menyebabkan kami tewas. Selepas perlawanan, kami sedar perlu lebih fokus terhadap servis dan konsistensi dalam strategi permainan,” katanya.
Untuk rekod, kali terakhir beregu lelaki negara menjuarai Terbuka Thailand adalah pada 2009 menerusi Chan Peng Soon-Lim Khim Wah.
Keputusan Lain:
------------------------
Perseorangan Lelaki:
[5] Loh Kean Yew (SGP) mn Ramus Gemke (DEN) 15-21, 21-12, 21-11
[2] Ander Antonsen (DEN mn Jeon Hyeok Jin (KOR)
[1] Kunlavut Vitidsarn (THA) mn [6] Kenta Nishimoto (JPN) 21-16, 21-18
Beregu Lelaki:
[1] Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (INA) mn [7] Liu Kuang Heng-Yang Po Han (TPE) 21-18, 21-17
William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer (DEN) mn [8] Lee Fang-Chih-Lee Fang-Jen 21-18, 21-14
Kittinupong Kerden-Dechapol Puavaranukroh (THA) mn [4] Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani (INA) 21-18, 21-13
Perseorangan Wanita:
[2] Chen Yu Fei (CHN) mn Pornpicha Choeikeewong (THA) 21-15, 21-14
[3] Tomoka Miyazaki (JPN) mn [7] Ratchanok Intanon (THA) 21-16, 21-16
Beregu Wanita:
Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo (KOR) mn [2] Febriana Dwipuji Kusuma-Amallia Cahaya Pratiwi (INA) 21-13, 21-8
Rui Hirokami-Sayaka Hobara (JPN) mn Meilysa Trias Puspitasari-Rachel Allessya Rose (INA) 21-9, 21-16
Hsu Ya Ching-Sung Yu-Hsuan (TPE) mn [6] Hsu Yin-Hui-Lin Jhih Yun (TPE) 21-9, 21-18
-- BERNAMA