AM

SULTAN NAZRIN BERKENAN LAWAT ANGGOTA FRU DIRAWAT DI HTI, SANTUNI WARIS

17/05/2025 02:43 PM

TELUK INTAN, 17 Mei (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan menziarahi dan menyantuni  anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terbabit dalam kemalangan maut di sini Selasa lepas. 

Keberangkatan tiba baginda pada 11 pagi di Hospital Teluk Intan disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Pengarah Kesihatan Perak Dr Feisul Idzwan Mustapha, Pengarah Hospital Teluk Intan Dr Khairul Baharin Mohd Baharuddin, Timbalan Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat dan Ahli Dewan Negara Perak Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Sultan Nazrin berkenan melawat empat anggota yang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan iaitu Koperal Haslizal Mohd Ali, 44; Sarjan Mazlan Mat, 50; Koperal Mohd Izwan Ishak, 39; Sarjan Mohd Parih Ali, 44 dan seorang anggota dirawat di wad biasa Muhammad Zulnaidi Muhammad Zulkifli, 34. 

Baginda kemudian berkenan menyantuni ahli keluarga anggota yang berada di hospital itu serta menyerahkan sumbangan peribadi kepada kesemua mangsa cedera akibat nahas berkenaan.

Sultan Nazrin meluangkan masa kira-kira 30 minit menziarahi dan menyantuni mereka sebelum berangkat pulang. 

Dalam kejadian 8.50 pagi Selasa, sembilan anggota maut manakala sembilan lagi cedera selepas trak pasukan dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan semasa dalam perjalanan pulang ke pangkalan di Sungai Senam di sini. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan