Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 4.4 peratus bagi suku pertama 2025 merupakan petunjuk positif terhadap ketahanan ekonomi, kata Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM).
Katanya, secara umum ia mencerminkan persekitaran perniagaan yang stabil dan dinikmati oleh ahli-ahlinya.
Mengulas perkara itu kepada Bernama, Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Siobhan Das berkata komuniti perniagaan Amerika Syarikat (AS) terus melihat Malaysia sebagai hab strategik di rantau ini selain momentumnya menyokong prospek pelaburan yang meyakinkan.
Beliau menekankan mengenai hubungan dua hala yang kukuh di antara Malaysia dengan AS yang terjalin sejak lebih lima dekad lepas dan ia kekal penting selain pelaburan dijangka berterusan dari AS ke Malaysia.
“Kami juga menjangkakan pelaburan korporat Malaysia ke AS akan meningkat berdasarkan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh,” katanya.
Das berkata walaupun prestasi KDNK merupakan satu daripada banyak penanda aras yang digunakan oleh syarikat multinasional AS, prospek pelaburan mereka sebahagian besarnya dipengaruhi oleh kemudahan operasi harian.
“Apa yang mendorong keputusan operasi dan pertumbuhan syarikat multinasional AS iaitu pengalaman harian dalam memastikan operasi perniagaan mereka tidak terjejas oleh birokrasi pentadbiran serta peraturan dan undang-undang yang lapuk atau sentiasa berubah di peringkat pelaksanaan.
“Walaupun petunjuk ekonomi kekal relevan, pelaburan jangka panjang AS juga bergantung kepada daya saing Malaysia dalam rantaian nilai global,” katanya.
Beliau berkata fleksibiliti dan keupayaan menyesuaikan diri dengan model perniagaan sangat penting.
Ia penting apabila penyesuaian kapasiti pengeluaran boleh dilakukan dalam tempoh beberapa minggu berdasarkan faktor jaminan, kecekapan, keberkesanan kos dan kemudahan pematuhan terhadap peraturan tempatan.
Semalam, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.4 peratus pada suku pertama 2025 dipacu oleh perbelanjaan isi rumah yang berterusan hasil sokongan daripada keadaan pasaran buruh yang menggalakkan serta dasar-dasar kerajaan.
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata pertumbuhan pada suku pertama itu turut disokong oleh aktiviti pelaburan yang stabil selain pertumbuhan eksport yang berterusan, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik serta pelancongan.
-- BERNAMA