AM

JAMBATAN KETIGA BATANG RAJANG DINAMAKAN SEMPENA TUN TUANKU BUJANG

17/05/2025 06:45 PM

SARIKEI, 17 Mei (Bernama) -- Jambatan ketiga yang siap dibina merentasi Batang Rajang, di sini, secara rasminya dinamakan Jambatan Tun Tuanku Haji Bujang Tuanku Haji Othman bagi menghargai jasa Allahyarham bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak itu yang berkhidmat dari 1969 hingga 1977.

Penamaan disempurnakan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada majlis perasmian jambatan itu di sini hari ini, yang turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Uggah menyifatkan ia sebagai satu penghormatan yang wajar kepada Allahyarham Tuanku Bujang sebagai individu berpengaruh dalam kemajuan perkhidmatan awam dan arena politik Sarawak.

“Tuanku Bujang yang dilahirkan di Sibu pada 1898 memulakan khidmat dalam perkhidmatan awam Sarawak pada 1934 dan mempamerkan kepimpinan yang cemerlang,” katanya.

Beliau berkata selepas bersara, Allahyarham menceburi bidang politik dan merupakan antara pengasas parti Barisan Ra’ayat Jati Sarawak (BERJASA), kemudiannya memainkan peranan penting dalam penggabungan antara BERJASA dan Parti Negara Sarawak (PANAS) untuk membentuk Parti Bumiputera pada 1968.

Tuanku Bujang yang meninggal dunia pada 1986 adalah bapa mentua kepada Abang Johari.

Berucap pada majlis itu, Abang Johari turut menzahirkan terima kasih atas penghormatan kepada Tuanku Bujang.

Menafikan sebarang penglibatan dalam penamaan jambatan terbabit, beliau secara berseloroh berkata: “Saya tak berani campur tangan kerana Allahyarham adalah bapa mentua saya, nanti orang fikir saya yang minta. Tidak, bukan saya (minta). Itu cadangan daripada wakil-wakil di sini,” katanya.

Sementara itu, Uggah berkata jambatan sepanjang 1.44 kilometer (km) itu dibina menggunakan teknologi Balanced Cantilever dengan dilengkapi saluran pelayaran selebar 120 meter dan setinggi 26 meter membolehkan kapal besar melalui sungai berkenaan tanpa sebarang halangan.

Jambatan terbabit mengurangkan jarak perjalanan antara bandar utama dari 120 km kepada 52 km, serta memendekkan masa perjalanan dari hampir dua setengah jam kepada kurang satu jam.

“Pembinaan jambatan ini memanfaatkan penduduk sekitar Sarikei, Pasi, Bintangor dan Tanjung Manis, khususnya dari segi pergerakan dan aktiviti ekonomi termasuk kepada petani, penternak dan nelayan dalam memasarkan hasil mereka,” katanya.

Jambatan itu katanya turut meningkatkan ketersambungan pengangkutan ke Pelabuhan Tanjung Manis, sekali gus mengukuhkan sebagai hab strategik untuk eksport dan import produk pertanian serta perindustrian dari Sarawak Tengah.

“Projek ini adalah sebahagian daripada pembangunan infrastruktur yang lebih luas oleh Kerajaan Sarawak di bawah rangkaian jalan pesisir pantai Sarawak dan Second Trunk Road, yang merangkumi lebih 900 km dari Lundu ke Miri," katanya.

Inisiatif bernilai RM11 bilion itu bermatlamat merapatkan jurang antara komuniti luar bandar dan bandar dengan mengurangkan kebergantungan terhadap perkhidmatan feri.

“Jambatan ini bukti komitmen kami (Kerajaan Sarawak) terhadap pembangunan terangkum dan memastikan tiada seorang pun rakyat Sarawak, terutama di kawasan luar bandar yang tercicir," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan