Daripada Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 17 Mei (Bernama) -- Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik berada pada landasan tepat untuk meraih gelaran kedua mereka tahun ini selepas mengesahkan tempat ke final Terbuka Thailand hari ini.
Pilihan kedua itu menamatkan saingan separuh akhir selepas 38 minit beraksi menewaskan pasangan tuan rumah Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh 21-17, 21-13 dalam perlawanan berlangsung di Stadium Nimibutr di sini.
Aaron-Wooi Yik pernah mara ke final Terbuka Thailand pada 2020 namun tewas kepada beregu Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin.
Wooi Yik ketika ditemui Bernama berkata mereka tidak mahu terlalu memikirkan tentang gelaran juara berturut-turut, sebaliknya mahu memberikan tumpuan untuk perlawanan seterusnya esok.
“Kami telah melalui banyak perlawanan akhir dalam kejohanan, merasai kejayaan dan juga kegagalan. Jadi, kami tidak mahu terlalu memikirkan tentang peluang untuk menang kejuaraan berturut-turut tahun ini.
"Kami akan terus belajar daripada jurulatih dan memperbaiki permainan agar tidak meletakkan tekanan berlebihan ke atas diri sendiri. Perlawanan akhir esok hanyalah satu lagi peluang untuk kami mengasah kemahiran,” katanya.
Pada perlawanan hari ini, rentak Aaron-Wooi Yik ternyata tidak pincang walaupun berdepan sorakan padu penyokong tuan rumah untuk memenangi set pertama dengan 21-17 sebelum melengkapkan kemenangan 21-13.
Menurut Aaron, corak permainan dan kawalan gelanggang mereka semakin meningkat dari setiap perlawanan pada kejohanan kali ini.
“Prestasi kami semakin meningkat dalam setiap perlawanan. Kami mahu fokus kepada apa perlu dilakukan dan yakin antara satu sama lain. Menang atau kalah adalah perkara kedua, selepas memberikan yang terbaik,” katanya.
Aaron-Wooi Yik akan berdepan pemenang daripada satu lagi aksi separuh akhir membabitkan gandingan keempat dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dan William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer dari Denmark.
Kali terakhir Malaysia muncul juara Terbuka Thailand pada 2009 menerusi pasangan Chan Peng Soon-Lim Khim Wah.
-- BERNAMA