AM

OPERASI TANGANI 'KEBANJIRAN' PENDATANG ASING DITERUSKAN WALAUPUN PRM 2.0 DILANJUT

17/05/2025 08:07 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) akan meneruskan operasi penguatkuasaan terhadap pendatang tanpa izin walaupun Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) dilanjutkan bermula Isnin ini hingga 30 April tahun depan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen Jafri Embok Taha berkata PRM 2.0 dilaksanakan bagi memberi peluang kepada warga asing yang tidak mempunyai dokumen sah untuk pulang secara sukarela ke negara asal mereka.

“Dengan adanya program ini, kita berharap pendatang tanpa izin akan mengambil peluang untuk pulang secara sukarela tetapi pada masa yang sama, operasi penguatkuasaan akan diteruskan seperti biasa walaupun PRM sedang berjalan,” katanya pada sidang media selepas menyertai Op Kutip di sebuah kompleks beli-belah di sini hari ini.

Beliau berkata operasi penguatkuasaan penting bagi mengurangkan jumlah pendatang tanpa izin, sekali gus menangani isu yang timbul akibat keberadaan mereka.

Setakat 15 Mei lepas, katanya sebanyak 5,090 operasi dijalankan di seluruh negara melibatkan pemeriksaan terhadap 67,574 individu.

Jafri berkata daripada jumlah individu diperiksa itu, 1,886 merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR) manakala 680 majikan turut ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Daripada operasi itu, sebanyak 19,193 pendatang tanpa izin ditahan manakala 15,422 individu ditahan di pintu masuk negara ketika cuba masuk atau keluar dengan keseluruhan tangkapan pendatang tanpa izin dalam tempoh lima bulan ini berjumlah 34,615 orang,” katanya.

Beliau berkata jumlah tangkapan menunjukkan peningkatan ketara tahun ini susulan pengisytiharan 2025 sebagai tahun penguatkuasaan oleh JIM.

“Kita tidak mempunyai angka tepat berapa ramai pendatang tanpa izin yang berada di luar sana tetapi berdasarkan jumlah tangkapan, memang ada peningkatan berbanding sebelum ini dengan operasi kini dijalankan hampir setiap hari di seluruh negara,” katanya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan kerajaan bersetuju melanjutkan pelaksanaan PRM 2.0 bermula 19 Mei ini hingga 30 April 2026 melibatkan Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Saifuddin Nasution berkata keputusan melanjutkan program pengampunan pulang pendatang tanpa izin secara sukarela yang tamat pada 31 Mac lepas itu, mendapat persetujuan agensi kawal selia termasuk Jabatan Peguam Negara.

Mengenai Op Kutip selama dua jam bermula 2.30 petang tadi, Jafri berkata sebanyak 964 individu telah diperiksa terdiri daripada 273 warga asing dan 691 tempatan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan, sebanyak 143 warga asing ditahan iaitu 56 warga Indonesia, Pakistan (32), Bangladesh (26), masing-masing 10 warga India dan Myanmar, Syria (4), Nepal (3), dan masing-masing seorang warga Afghanistan dan China.

“Mereka terdiri daripada 110 lelaki dan 33 wanita berusia 22 hingga 48 tahun yang disyaki melakukan kesalahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa di negara ini, pemegang kad yang tidak diiktiraf dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen,” katanya sambil menambah mereka akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata semasa serbuan dan pemeriksaan dijalankan, ada warga asing cuba melarikan diri dengan merempuh anggota penguat kuasa serta melakukan provokasi sehingga menyukarkan proses tangkapan.

“Ada yang bersembunyi di dalam bilik persalinan, ruang tersorok bawah tangga, tandas, bilik stor dan enggan membuka pintu, menyembunyikan warga asing serta menyorokkan dokumen penting yang melambatkan proses pemeriksaan,” katanya.

Jafri turut mengingatkan warga tempatan terutama majikan untuk tidak menggaji atau melindungi pendatang asing tanpa izin kerana berdepan tindakan tegas di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan