SIBU,17 Mei (Bernama) -- Kerajaan Sarawak akan menaik taraf Lapangan Terbang Tanjung Manis di Bahagian Mukah, kira-kira 112 kilometer dari sini, bagi membolehkan pesawat bersaiz lebih besar mendarat.
Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan lapangan terbang yang mula dibuka pada 2001 itu buat masa ini hanya mampu mengendalikan pesawat ringan jenis Twin Otter dan kos projek itu dianggarkan di antara RM300 juta hingga RM800 juta, tertakluk kepada keputusan kajian kebolehlaksanaan yang sedang dijalankan.
“Dengan kemudahan yang lebih baik, Lapangan Terbang Tanjung Manis dijangka menjadi pintu masuk utama ke Wilayah Tengah, seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” menurut kenyataan itu.
Projek naik taraf lapangan terbang yang dibangunkan PUSAKA itu melibatkan pembinaan terminal baharu, pemanjangan landasan, menara kawalan trafik udara serta kemudahan imigresen, kastam dan keselamatan.
Majlis pelancaran projek menaik taraf lapangan terbang berkenaan telah disempurnakan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Dewan IKS PUSAKA, Tanjung Manis hari ini.
PUSAKA berkata projek itu merupakan inisiatif penting dalam perancangan pembangunan wilayah tengah yang merangkumi Bahagian Kapit, Sibu, Sarikei dan Mukah, bertujuan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.
Di bawah inisiatif ini, pembinaan Jambatan Rajang-Jalan Pasi telah disiapkan dan dirasmikan oleh Abang Johari hari ini, dengan infrastruktur berkenaan telah memendekkan jarak perjalanan dari Tanjung Manis ke Sarikei daripada 122 kilometer (km) kepada hanya 53 km.
Selain itu, projek Skim Pembesaran Kampung Tanjung Manis yang melibatkan pembinaan 69 unit rumah berkembar di kawasan seluas 6.92 hektar turut dirancang bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar dengan menyediakan kemudahan asas lengkap.
Kerajaan Sarawak juga akan membangunkan projek Anjung Usahawan yang menyediakan tujuh unit kedai komersial dua tingkat sebagai ruang niaga moden untuk usahawan tempatan, khususnya pengusaha industri kecil dan sederhana.
“Dalam usaha mempromosikan Tanjung Manis sebagai pusat pelancongan, projek pembangunan padang golf dan resort berhampiran Pantai Belawai dan Lapangan Terbang Tanjung Manis turut dirancang, lengkap dengan kemudahan seperti chalet, marina dan hotel bertaraf tiga bintang,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA