KUCHING, 18 Mei (Bernama) -- Ahli PKR di Sarawak dinasihatkan untuk menggunakan situasi politik di negeri itu sekarang sebagai ruang untuk mengumpul kekuatan bagi menghadapi cabaran masa hadapan, kata calon Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli.
Beliau berkata dalam keadaan rakyat Sarawak lebih cenderung untuk menyokong kerajaan negeri sedia ada, ahli parti berkenaan perlu menggunakan keadaan itu untuk "melabur" bagi melahirkan generasi kepimpinan baharu parti.
"Masa kitaran kita di bawah ialah masa yang baik untuk kita melabur bagi masa depan parti. Gunakan masa ini membina bakat baharu kerana kitaran itu akan datang dan akan berlaku," katanya semasa berucap dalam Program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) di sini malam tadi.
Beliau berkata berdasarkan penglibatan parti itu dalam pilihan raya sebelum ini di Sarawak, PKR telah menunjukkan potensi untuk memenangi sekurang-kurangnya tiga kerusi Parlimen pada masa akan datang.
"(Parlimen) Miri memanglah kubu kita dekat sinilah (di Sarawak), tetapi akan tetap ada dua atau tiga kerusi Parlimen lain yang sebenarnya sentiasa ada potensi," katanya dan menambah kerusi berkenaan termasuklah Kanowit, Selangau dan Puncak Borneo.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PKR berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Miri untuk tiga penggal berturut-turut sejak PRU13 pada 2013.
Rafizi berkata parti itu juga pernah menang di Parlimen Selangau dan Puncak Borneo, sementara tewas tipis di Parlimen Kanowit pada PRU15.
Beliau berkata sesiapa yang bakal dipilih dalam pemilihan parti pada 23 Mei ini harus memberi perhatian serius terhadap isu-isu yang dibangkitkan ahli parti di Sarawak, khususnya dalam memastikan PKR kekal relevan di negeri itu.
-- BERNAMA