KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Reruai jualan dan pameran bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang menawarkan pelbagai produk tempatan dan perkhidmatan kerajaan serta aktiviti menarik akan dibuka di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan reruai jualan dan pameran itu terbuka kepada orang awam bermula pada 23 hingga 25 Mei manakala delegasi ASEAN pada 26 dan 27 Mei, melibatkan sejumlah 36 reruai dengan 25 pempamer.
Bertemakan The Heritech Malaysia, iaitu mainan kata yang menggabungkan unsur warisan dan teknologi, pengunjung berpeluang menyaksikan pelbagai demonstrasi penghasilan kraf tangan tempatan secara langsung selain berinteraksi dengan paparan papan digital dan video.
Antaranya demonstrasi menekat benang emas, anyaman dan mencanting batik, penggunaan dompet digital, permainan dan pameran interaktif, pameran kraf tangan, cabutan bertuah, edaran cenderahati, uji rasa produk makanan dan minuman tempatan, serta simulasi dron.
Pengunjung juga bakal menyaksikan persembahan kebudayaan masyarakat Orang Asli yang dikelolakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), persembahan kebudayaan oleh artis berkeupayaan khas dan pelancaran produk tempatan baharu.
Pameran dan perkhidmatan kerajaan pula melibatkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Program Penggunaan Barangan dan Perkhidmatan Hasil R&D Tempatan (MySTI) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini di KLCC, menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota blok itu bagi membincangkan isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi, selain memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.
Selain itu, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC (Majlis Kerjasama Teluk) kedua dan buat julung kalinya, Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China turut berlangsung secara serentak.
-- BERNAMA