AM

ANAK MANGSA NAHAS FRU TERIMA MANFAAT SIMPAN SSPN

18/05/2025 07:50 PM

IPOH, 18 Mei (Bernama) -- Tiga anak Allahyarham Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam kemalangan maut baru-baru ini, layak menerima manfaat berjumlah RM193,000 melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata manfaat itu adalah hasil simpanan anggota FRU berusia 46 tahun berkenaan menerusi dua produk iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus.

Mohd Roslan adalah pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuka akaun untuk diri sendiri pada 7 Mei lepas dan mempunyai simpanan yang melayakkannya menerima manfaat perlindungan takaful berjumlah RM1,000 serta khairat kematian sebanyak RM3,000.

“Allahyarham juga telah membuka tiga akaun Simpan SSPN Plus di bawah Pakej Intan untuk tiga anaknya pada 31 Mac 2019 dan dengan komitmen RM30 sebulan untuk setiap akaun iaitu simpanan RM20 dan caruman takaful sebanyak RM10 melayakkan beliau sebagai pendeposit Simpan SSPN Plus yang dilindungi dengan manfaat perlindungan takaful (kematian akibat kemalangan) berjumlah RM60,000 untuk satu akaun dan jumlah keseluruhan RM180,000 untuk tiga akaun.

“Selain itu, waris juga layak menerima khairat kematian berjumlah RM9,000 untuk tiga akaun tersebut. Ini menjadikan keseluruhan manfaat Simpan SSPN Plus yang diterima berjumlah RM189,000. Maka jumlah keseluruhan manfaat Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus yang diterima adalah berjumlah RM193,000,” katanya ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih PTPTN di kediaman Allahyarham Mohd Roslan di sini hari ini.

Selain Mohd Roslan, Norliza berkata seorang lagi anggota FRU dalam nahas tersebut iaitu Allahyarham Koperal Amiruddin Zabri, 38, yang juga pendeposit Simpan SSPN Prime, turut menerima manfaat perlindungan takaful berserta khairat kematian berjumlah RM4,000.

Beliau berkata PTPTN melalui Program Ziarah Kasih PTPTN hari ini telah mengunjungi lima rumah mangsa nahas membabitkan anggota FRU di Perak.

Semasa sesi ziarah itu, Norliza berkata PTPTN telah memberikan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berupa wang tunai berjumlah RM15,000 kepada anak-anak mangsa terbabit iaitu seramai 15 orang dengan setiap seorang menerima RM1,000 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime.

“PTPTN berharap melalui sumbangan CSR dan manfaat perlindungan takaful serta khairat kematian Simpan SSPN dapat membantu meringankan beban kewangan waris pendeposit yang kehilangan insan tersayang.

“Walaupun tiada nilai yang dapat menggantikan kehilangan tersebut, manfaat yang diterima diharapkan mampu menjamin pendidikan anak-anak Allahyarham serta memberikan sokongan kepada kelangsungan hidup mereka. Sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi, PTPTN sentiasa komited dalam memastikan aspek pendidikan sentiasa terpelihara,” katanya.

Insiden pada 8.50 pagi 13 Mei lepas menyaksikan sembilan anggota FRU maut manakala sembilan lagi cedera selepas trak dinaiki mereka dirempuh sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak semasa dalam perjalanan pulang ke pangkalan di Sungai Senam.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan