AM

LIMA’25: KEMENTERIAN PERTAHANAN TELITI DAKWAAN KEROSAKAN RUMAH PENDUDUK

19/05/2025 03:53 PM

LANGKAWI, 19 Mei (Bernama) -- Kementerian Pertahanan akan meneliti dakwaan latihan pertunjukan udara sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) di sini semalam, mengakibatkan tingkap rumah penduduk kampung rosak seperti yang tular di media sosial. 

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya mengambil maklum dan tidak akan mengabaikan dakwaan itu.

“Kita akan tengok dan tidak akan abaikan soal itu. Kita akan kaji perkara tersebut. Ada masanya memang akan ada pertunjukan dan sebagainya yang mungkin menyebabkan kesan sedikit,” katanya ringkas pada sidang media selepas meninjau persiapan terakhir LIMA’25 di sini hari ini. 

Sebelum ini, tular di media sosial video berdurasi 56 saat menunjukkan kerosakan cermin tingkap di beberapa rumah penduduk sekitar kawasan itu. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan