SUKAN

KDNFC KOMITED MULAKAN MUSIM LIGA SUPER 2025-2026 TANPA HUTANG

19/05/2025 11:57 PM

KOTA BHARU, 19 Mei (Bernama) -- Kelantan Darul Naim FC (KDNFC) komited untuk memulakan saingan Liga Super musim 2025-2026 tanpa sebarang hutang sekali gus berusaha mengembalikan kegemilangan bola sepak di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Irwan Rizal Ali Napiah berkata pihaknya serius dalam usaha melunaskan semua tunggakan sedia ada sebelum sepak mula liga yang dijadualkan Ogos ini.

"KDNFC benar-benar serius untuk menyelesaikan segala tunggakan yang ada berdasarkan dapatan yang kami terima supaya komitmen kami untuk musim depan dapat dimulakan tanpa sebarang hutang.

“Penjadualan semula bayaran sedang dilakukan kerana ia melibatkan jumlah serta kes berbeza. Ia bukan sahaja membabitkan pembayaran gaji pemain, tetapi juga pihak pengurusan dan sehingga kini masih ada yang tampil menuntut tunggakan tersebut,” katanya kepada pemberita, di sini, malam ini.

Beliau berkata penyelesaian segera hutang itu penting kerana sekiranya diberi mandat, KDNFC mahu memulakan saingan tanpa sebarang isu berbangkit selain memenuhi syarat yang ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Sementara itu, Mohd Irwan Rizal berkata KDNFC tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan individu berpengaruh seperti Tan Sri Annuar Musa bagi memperkukuh pasukan.

“Kita tidak boleh menafikan jasa dan kepakaran Tan Sri Annuar dalam arena bola sepak Kelantan. Kami menghargai semua hantaran beliau (di media sosial) ketika ini yang secara tidak langsung menunjukkan minat terhadap pasukan bola sepak Kelantan," katanya.

Mengulas mengenai tawaran yang akan diketengahkan oleh KDNFC bagi meraih semula sokongan peminat bola sepak negeri, beliau berkata pasukan baharu yang bakal dibentuk akan menampilkan persembahan lebih mantap.

Katanya pasukan berkenaan akan dibarisi pemain berpengalaman serta pemain baharu yang berkemahiran tinggi bagi mengembalikan semula kegemilangan bola sepak Kelantan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan