EKONOMI

MIDA, CHERY JALIN PAKATAN AUTOMOTIF STRATEGIK, HIMPUN 35 PEMBEKAL GLOBAL

20/05/2025 09:34 AM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd telah melancarkan Program Sinergi Rantaian Bekalan Premier Chery yang menghimpunkan 35 pembekal global dalam usaha mempercepat pembangunan sektor automotif Malaysia.

Inisiatif strategik yang disokong oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), menghubungkan 12 pembekal teknologi utama Chery China dengan 23 firma Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata program itu berperanan peranan penting dalam memajukan matlamat Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020.

“Kita berhasrat membuka peluang yang saling menguntungkan dan memacu pertumbuhan dan inovasi yang seiring serta melengkapi matlamat NAP 2020 dalam mempromosikan pembangunan vendor tempatan, menyokong kenderaan generasi akan datang (NxGV) serta menerapkan amalan Industri 4.0.

“Menerusi usaha pemupukan penting ini, kita berharap dapat mewujudkan masa depan yang sarat dengan pemindahan teknologi, rantaian bekalan yang dipermudah serta kemampuan industri dipertingkatkan yang pada akhirnya dapat menyuntik manfaat bersama untuk Malaysia dan Chery," katanya dalam satu kenyataan.

MIDA berkata Taman Perindustrian Chery Smart Auto yang terletak di Lembah Beringin High-Tech Auto, akan menjadi hab pengeluaran Chery di rantau ini, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam lonjakan kemajuan automotif Malaysia.

Sejajar dengan inisiatif itu, sebanyak empat memorandum persefahaman (MoU) strategik telah dimeterai.

Ini termasuk Wuhu Atech Automotive Electronics Co Ltd dan Cheling Smart Mobility Technology (Wuhu) Co Ltd yang masing-masing memeterai MoU dengan Multi-Code Electronics Industries (M) Bhd.

Selain itu, Zhejiang Wanliyang Co Ltd dan Wuhu Qida Power Battery System Co Ltd memuktamadkan kerjasama dengan Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd.

“Kerjasama ini menumpukan komponen automotif, pemindahan teknologi dan pelaburan bersama selain memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan automotif global.

“(Pada masa sama) inisiatif rantaian bekalan ini dapat menangani peningkatan permintaan bagi elektrifikasi dan penyelesaian mobiliti pintar yang meletakkan Malaysia di barisan hadapan inovasi automotif,” kata MIDA.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan