GEORGE TOWN, 20 Mei (Bernama) -- Sebuah tongkang stesen pengendalian semula pasir mengalami isu kestabilan berhampiran tapak projek Pulau Silikon di sini pagi tadi, namun kejadian tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Pengerusi Silicon Island Development Sdn Bhd Datuk Seri Farizan Darus berkata dalam kejadian pada 11.18 pagi tadi, 11 kru terdiri daripada dua warga tempatan, seorang warga China dan lapan warga Indonesia berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.
“Penilaian awal menunjukkan faktor operasi termasuk kemungkinan isu pada paip pelepasan telah mempengaruhi muatan corong semasa proses pemindahan.
“Pasukan tindak balas kecemasan kami telah segera dikerahkan ke lokasi bagi mengawal keadaan, termasuk melaksanakan langkah berjaga-jaga untuk mengekang sebarang kemungkinan tumpahan minyak,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata insiden itu telah dimaklumkan kepada pihak Jabatan Laut, Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang serta beberapa agensi berkaitan.
Pihak pemaju projek, katanya memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak berkuasa berkenaan manakala Penang Infrastructure Corporation (PIC) akan terus memantau perkembangan situasi kejadian dengan teliti.
Pulau Silikon seluas 930.78 hektar ialah projek penambakan milik kerajaan Pulau Pinang dengan kali pertama kerajaan negeri membangunkan sebuah projek tambakan secara langsung untuk menjamin pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
-- BERNAMA