AM

SIDANG KEMUNCAK ASEAN: MEF SOKONG BDR, SARAN PERANCANGAN TELITI

21/05/2025 01:01 PM

Oleh Thivyamalini Ramalu

PUTRAJAYA, 21 Mei (Bernama) -- Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyambut baik langkah kerajaan membenarkan pekerja sektor awam dan swasta bekerja dari rumah (BDR) sempena Sidang Kemuncak ASEAN, namun mencadangkan pelaksanaannya diteliti secara menyeluruh.

Presidennya Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata inisiatif itu penting bagi memastikan pelaksanaan BDR tidak menjejaskan produktiviti syarikat, khususnya yang beroperasi di kawasan sekitar acara berprofil tinggi berkenaan.

“MEF berpandangan BDR dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas semasa program berlangsung, namun ia perlu dirancang secara teliti. Kerjasama antara kerajaan, majikan, pekerja dan kesatuan sekerja amat penting bagi memastikan pelaksanaan yang seimbang dan berkesan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut beliau, sebelum dasar BDR dilaksanakan, sesi libat urus bersama pihak berkepentingan, terutamanya sektor swasta dan pihak berkuasa tempatan, perlu diadakan bagi memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan produktiviti perniagaan.

Syed Hussain berkata pelaksanaan BDR dalam sektor swasta juga mungkin berdepan cabaran kerana tidak semua majikan memiliki sistem pengurusan kerja fleksibel yang berkesan.

“Sekiranya perniagaan tidak beroperasi secara fizikal, perusahaan kecil dan sederhana seperti restoran, pengangkutan dan perkhidmatan berhampiran kawasan perniagaan akan mengalami kerugian. Oleh itu, pelaksanaan BDR perlu diselaraskan dengan kapasiti dan keperluan setiap syarikat, termasuk dari segi teknologi, keselamatan data dan pemantauan prestasi pekerja,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata keputusan kerajaan membenarkan BDR semasa sidang kemuncak menunjukkan pendekatan berhemah, sekali gus membuktikan pentadbiran kerajaan kekal berfungsi seperti biasa dengan hanya melakukan penyesuaian sementara demi kelancaran acara antarabangsa itu.

“Jika dilaksanakan dengan baik, inisiatif BDR boleh menjadi asas kepada pelaksanaan dasar kerja hibrid secara lebih meluas dalam sektor awam. Ini sejajar dengan trend global yang menekankan keseimbangan kerja dan kehidupan serta penggunaan teknologi bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam,” katanya.

Pada 7 Mei lepas, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan penjawat awam yang dijangka terkesan akibat kesesakan trafik sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46, yang akan bermula dengan mesyuarat pegawai kanan pada 23 Mei, disaran memohon pelaksanaan BDR.

Menurut JPA, selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perkhidmatan awam, pelaksanaan dasar BDR bagi penjawat awam akan terus dilaksanakan secara fleksibel, tertakluk kepada peraturan berkuat kuasa.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz pada 15 Mei, dilaporkan berkata beberapa kementerian, jabatan dan agensi kerajaan telah mula menerima permohonan BDR daripada penjawat awam.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jumlah permohonan yang diterima, namun memaklumkan bahawa sebahagiannya telah diluluskan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjawat Awam Kaum India Putrajaya (IMAIYAM) Dr Sathiskumar K. Muthusamy berkata pendekatan BDR dapat memperkukuh keseimbangan kerja dan kehidupan penjawat awam serta menampilkan imej Malaysia sebagai negara yang menyokong amalan kerja moden, mesra keluarga dan berdaya tahan.

Mengulas persoalan sama ada pelaksanaan BDR akan menjejaskan produktiviti, Dr Sathiskumar yang juga Pegawai Perubatan Kanan di Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Hospital Putrajaya berkata secara umumnya, penjawat awam kini lebih bersedia dan mahir dengan penggunaan sistem digital.

“Dalam beberapa kes, produktiviti meningkat kerana kurang gangguan seperti pembaziran masa dalam kesesakan lalu lintas. Ini sekali gus menjadikan pengurusan masa lebih fleksibel. BDR juga boleh menjadi peluang untuk membuktikan keupayaan bekerja secara fleksibel tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan,” katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 akan bermula dengan mesyuarat peringkat pegawai-pegawai kanan pada 23 Mei, diikuti mesyuarat peringkat menteri pada 25 Mei, manakala mesyuarat ketua-ketua kerajaan akan bermula pada 26 Mei.

Tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan' diangkat sebagai asas penyatuan untuk penglibatan serantau dan global. Komitmen Malaysia adalah untuk memperkukuh pemusatan ASEAN, memupuk kerjasama ekonomi serta memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan