AM

MALAYSIA SERU DUNIA ISLAM PROAKTIF BENTUK HALA TUJU TEKNOLOGI GLOBAL

21/05/2025 08:29 PM

PUTRAJAYA, 20 Mei (Bernama) -- Malaysia berpendirian dunia Islam perlu mengambil pendekatan proaktif dalam membentuk hala tuju teknologi sejagat khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan menteri berkaitan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata demikian menerusi kenyataan negara pada Mesyuarat Menteri-Menteri Sains, Penyelidikan dan Teknologi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)-15 kali kedua yang berlangsung di Tehran, Iran pada 18 hingga 19 Mei lepas.

Zambry berkata sains dan teknologi telah menjadi asas ketamadunan Islam dan kini negara OIC-15 mempunyai tanggungjawab bersama untuk memulihkan semula kepimpinan tersebut melalui pendekatan yang holistik, beretika dan berteraskan nilai Islam.

Sehubungan itu, Malaysia mencadangkan tujuh tonggak utama kepada kerangka tindakan OIC-15 untuk pertimbangan bersama.

Tonggak yang dicadangkan ialah reka bentuk kurikulum bersama dalam bidang AI, etika data dan kemanusiaan digital; penubuhan hab penyelidikan dan inovasi rentas negara; gerakan celik AI yang inklusif di seluruh negara anggota serta penububan Dana Solidariti Digital OIC-15 dan Indeks Kesiapsiagaan Digital OIC.

Selain itu, pembentukan Konsortium Keselamatan Siber OIC; penububan Unit Foresight OIC-15 bagi merancang masa depan teknologi Islam; dan dana Inovasi Krisis untuk menyokong komuniti terkesan seperti Gaza.

Zambry turut berkongsi perkembangan Malaysia dalam merangka Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025–2035 yang menumpukan kepada pendidikan berasaskan AI, pembelajaran sepanjang hayat serta pembangunan bakat digital.

"Konsep Malaysia MADANI yang berteraskan pembangunan seimbang, menyeluruh dan berperikemanusiaan juga diketengahkan sebagai model transformasi digital negara.

"Malaysia turut menawarkan kerjasama dalam bentuk biasiswa, program mobiliti dan AI Fellowship bagi menyokong pembangunan bakat bersama negara anggota OIC-15," menurut kenyataan itu.

Menurut KPT, Zambry turut mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Iran Masoud Pezeshkian bersama para menteri dan wakil negara OIC lain. 

"Di samping itu, satu pertemuan dua hala telah berlangsung antara Zambry dan Menteri Sains, Penyelidikan dan Teknologi Iran, Hossein Simayi Saraf bagi membincangkan potensi kerjasama dalam bidang tenaga mahir, sains dan teknologi antara Malaysia dan Iran," menurut kementerian itu.

Mesyuarat yang bertemakan “Innovation in Science and Technology through Harnessing Artificial Intelligence: A Strategy for a Brighter Future in the Islamic World” tersebut menghimpunkan lebih 20 wakil negara anggota OIC untuk meneroka potensi teknologi AI sebagai pemacu kemajuan bersama.

Mesyuarat Menteri-Menteri Sains, Penyelidikan dan Teknologi OIC-15 kali ketiga akan datang dijadualkan berlangsung di Arab Saudi sebagai kesinambungan kepada usaha kolektif memperkasa ummah dalam era Revolusi Industri Keempat.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan