EKONOMI

FINLAND BERHASRAT MEMPERDALAM HUBUNGAN PERDAGANGAN DENGAN MALAYSIA

21/05/2025 09:38 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, May 21 (Bernama) -- Finland berhasrat untuk memperdalam hubungan ekonomi dengan Malaysia, memfokuskan kepada ekonomi kitaran, penyelesaian tenaga mampan dan pintar, pendigitalan dan semikonduktor bagi merancakkan perdagangan dan pelaburan di rantau ini.

Menteri Perdagangan Luar dan Pembangunan Finland Ville Tavio berkata negara itu berhasrat untuk memperkukuh kerjasama melalui penglibatan dua hala serta Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia dan Kesatuan Eropah (MEUFTA) yang telah lama ditunggu-tunggu.

“Kami mempunyai hubungan yang baik berasaskan rasa saling hormat-menghormati dan kerjasama. Banyak sektor yang sedang berkembang di Malaysia juga merupakan bidang yang telah lama diterokai oleh Finland. Jadi, saya tahu kami mempunyai banyak perkara yang boleh dilaksanakan bersama.

“Kami juga mahu rundingan perdagangan bebas EU-Malaysia diteruskan dan dimuktamadkan. Perdagangan semasa masih belum berada pada tahap yang tinggi, jadi terdapat banyak potensi,” katanya kepada Bernama semasa lawatan rasminya ke Malaysia yang bermula hari ini hingga 23 Mei.

Tavio berkata kira-kira 40 syarikat Finland kini beroperasi di Malaysia termasuk nama-nama besar seperti Nokia Corporation dan Kone, yang membekalkan lif untuk bangunan pencakar langit Merdeka 118.

Beliau juga berharap lebih banyak syarikat Finland akan berminat untuk memasuki pasaran Malaysia dan pada masa yang sama, syarikat-syarikat Malaysia akan meneroka peluang di Finland.

Selain itu, Tavio berkata Finland akan memantau dengan rapat Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang mana Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN memandangkan syarikat-syarikat Finland berada dalam kedudukan yang baik untuk menyokong peralihan hijau di rantau itu melalui kepakaran mereka dalam teknologi mampan.

“Dengan tema Kepengerusian ASEAN 2025 iaitu ‘Keterangkuman dan Kelestarian’, tumpuan itu sangat tepat pada masanya dan relevan.

“Syarikat-syarikat kami mempunyai banyak penyelesaian yang mampan. Jadi, saya rasa itu adalah sesuatu yang benar-benar boleh kami usahakan, memandangkan teknologi bersih semakin mendapat sambutan,” katanya.

Semasa lawatan rasmi itu, Tavio mengetuai delegasi perniagaan terkemuka yang terdiri daripada wakil lebih 20 syarikat dan organisasi Finland, dengan lawatan yang dijadualkan berlangsung di ibu negara dan juga Pulau Pinang.

Beliau akan mengadakan libat urus dengan kerajaan Persekutuan dan negeri, ahli perniagaan tempatan serta pihak berkepentingan utama yang lain dan menghadiri seminar perniagaan yang dianjurkan bersama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Sementara itu, Duta Besar Finland ke Malaysia Anne Vasara berkata delegasi tersebut akan melawat Pulau Pinang — yang sering digelar sebagai ‘Lembah Silikon Malaysia’ — untuk meneroka ekosistem teknologi dinamiknya serta memperkukuh lagi hubungan dengan peneraju industri serantau.

“Lawatan ini akan merangkumi seminar perniagaan dan syarikat-syarikat kami juga akan terlibat dalam mesyuarat dengan firma-firma tempatan, pihak berkuasa Pulau Pinang dan pihak berkepentingan utama untuk meneroka cara-cara mempertingkatkan kerjasama,” katanya.

Syarikat-syarikat dan organisasi Finland itu merangkumi pelbagai industri utama seperti semikonduktor, kecerdasan buatan, pengkomputeran awan dan kuantum, Internat Pelbagai Benda (IoT), penyahkarbonan, pembinaan hijau dan pengurusan sisa.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan