EKONOMI

SIDANG KEMUNCAK ASEAN BERPOTENSI TARIK FDI RM300 BILION UNTUK MALAYSIA - JUWAI IQI

22/05/2025 03:07 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Sidang Kemuncak ASEAN akan menjadi platform untuk integrasi ekonomi serantau dan menggalakkan perdagangan melalui perjanjian yang berpotensi dengan anggaran RM300 bilion melalui pelaburan langsung asing (FDI) dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Juwai IQI. 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Kashif Ansari melalui satu kenyataan hari ini memberitahu amat penting bagi anggota ASEAN untuk bekerjasama memandangkan rantau ini sedang berdepan dengan dunia yang agak kompleks seperti persaingan strategik global, teknologi baharu dan gangguan kecerdasan buatan (AI). 

"Sidang kemuncak itu mampu meningkatkan ekonomi Malaysia melalui integrasi serantau, perpaduan ASEAN dalam perdagangan global termasuk pelaburan langsung asing. Perubahan dalam ketiga-tiga kawasan ini bermakna kemasukan beratus-ratus bilion ringgit dalam perdagangan dan modal tambahan menjelang tahun-tahun akan datang.

"Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) adalah contoh utama integrasi, yang dapat menyumbang sebanyak RM110.9 bilion kepada ekonomi Malaysia setiap tahun menjelang 2030," katanya.

Kashif berkata kesepaduan ASEAN dapat melonjakkan jumlah perdagangan Malaysia dengan ketara, hingga kira-kira RM3.87 trilion pada 2027; Eksport boleh mencapai paras tertinggi sebanyak RM2.13 trilion dalam jumlah eksport tahunan menjelang 2030. 

"Walaupun sidang kemuncak itu akan menerbitkan perjanjian yang membolehkan negara mengeksport lebih banyak barangan pada 2030, kita juga akan menerima lebih banyak kemasukan FDI, yang mana modal itu akan disalurkan ke dalam inovasi tempatan, infrastruktur, pekerjaan dan hartanah," katanya.

IQI melalui analisisnya ke atas sektor hartanah berkata aliran masuk FDI semasa tempoh ini akan menjana sekurang-kurangnya RM15 bilion dalam aktiviti hartanah baharu seperti pembangunan taman perindustrian, pusat komersial, hab logistik dan perumahan.

"Dengan RM300 bilion FDI yang diunjurkan menjelang 2030, kam menjangkakan RM15 bilion atau lima peratus akan disalurkan ke dalam industri hartanah.

"Kami menganggarkan nisbah lima peratus ini antara FDI dan hartanah berdasarkan corak tipikal yang dilihat di rantau ini. Jumlah sebenar mungkin lebih rendah atau lebih tinggi," katanya.

Menurut Kashif, banyak jenama global telah membina pusat data, kemudahan kenderaan elektrik dan hab logistik sejak beberapa tahun kebelakangan. 

Perkembangan ini mewujudkan permintaan hartanah berkualiti tinggi dalam sektor perindustrian selain mempunyai kesan limpahan terhadap perumahan, pejabat dan runcit. 

"Sidang Kemuncak ASEAN ini merupakan platform bagi meningkatkan masa depan Malaysia. Jika pemimpin serantau boleh bersetuju untuk memperdalam perdagangan intra-ASEAN, mengharmonikan peraturan serta mengurangkan halangan perdagangan, Malaysia dan semua negara yang menjadi rakan kongsinya akan memperoleh keuntungan," katanya lagi.

Sidang Kemuncak ASEAN akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 26 hingga 27 Mei ini, di samping Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama ASEAN-Teluk (GCC) yang kedua dan sidang kemuncak Asean-GCC-China yang pertama.

Ini merupakan kali kelima, Malaysia mempengerusikan ASEAN. Sebelum ini adalah pada 1977, 1997, 2005 dan 2015. 

 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan