AM

TMM2026: 103 LALUAN PENERBANGAN BAHARU DILULUSKAN PERKUKUH KETERSAMBUNGAN GLOBAL

22/05/2025 05:12 PM

PUTRAJAYA, 22 Mei (Bernama) -- Sebanyak 103 laluan penerbangan baharu, 29 kekerapan penerbangan dan lima penerbangan carter dari pelbagai negara utama diluluskan sebagai usaha memperkukuh ketersambungan global menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Inisiatif ini dimaklumkan pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan (JKPK) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Beliau berkata jawatankuasa berkenaan turut menekankan keperluan melaksanakan kempen promosi secara menyeluruh hingga peringkat antarabangsa dengan sokongan kerajaan sebagai persediaan menjelang TMM2026.

Ahmad Zahid berkata antara strategi digariskan termasuk mencipta permintaan dengan memperkasakan jenama Malaysia Truly Asia dan Cuti-Cuti Malaysia, promosi bersama syarikat penerbangan dan pengendali pelancongan serta pendekatan segmentasi pasaran untuk menarik pelawat berprofil tinggi dari seluruh dunia.

“Kerajaan komited untuk memacu sektor pelancongan sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI khususnya teras Membina Semula Ekonomi. 

“Sektor ini bukan sahaja menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tetapi juga mencipta peluang pekerjaan dan meningkatkan daya saing negara dalam pasaran global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata mesyuarat itu dimaklumkan mengenai tujuh program ikonik yang akan dianjurkan sebagai tarikan utama TMM2026 termasuk Malaysia Mega Sale, Festival Budaya Malaysia, Global Meet, World Tourism Day & Conference, Pelancaran Rasmi TMM2026, VM2026 Year-End Sale dan Ambang Sambutan TMM2026.

Selain itu, beliau berkata mesyuarat turut dimaklumkan mengenai program Pelancongan Mampan melalui inisiatif Greening Protocol

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kerajaan Negeri Selangor akan menerajui pelaksanaan Greening Protocol merangkumi teknologi rendah karbon, mobiliti hijau dan pemerkasaan ruang hijau bandar. Ini sejajar dengan matlamat menjadikan Malaysia destinasi pelancongan mampan bertaraf dunia,” katanya

Bagi memastikan sektor ini kekal berdaya saing, Ahmad Zahid menyeru semua kementerian dan agensi supaya berganding bahu dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam memacu sektor ini sebagai agenda nasional. 

“Kejayaan pelancongan negara hanya dapat dicapai melalui penyelarasan dasar dan pelaksanaan yang kolektif serta inklusif,” katanya.

Ahmad Zahid turut menyeru agar semua petugas barisan hadapan negara khususnya di pintu masuk antarabangsa menunjukkan sikap mesra dan profesional sebagai duta kecil negara yang menyambut kedatangan pelancong.

“Saya yakin, dengan komitmen bersama semua pihak, kita mampu menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia menjelang TMM2026,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan